
Rakaman tular bendera Indonesia hampir diletakkan dalam posisi terbalik dalam acara di Kabupaten Mamasa, Sulawesi Barat. – Agensi
SULAWESI BARAT – Upacara peringatan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan (HUT) ke-80 Republik Indonesia (RI) di Kabupaten Mamasa, Sulawesi Barat dikejutkan dengan insiden bendera Merah Putih dikibar hampir terbalik.
Kejadian itu berlaku di Lapangan Kondosapata, Kecamatan Mamasa ketika pasukan pengibar bendera (paskibra) bersiap menaikkan bendera tersebut.
Dalam rakaman video yang tular, posisi bendera menampilkan warna merah di bahagian bawah dan putih di bahagian atas.
Ketua Panitia Peringatan HUT RI Pemkab Mamasa, Welem, tampil memohon maaf kepada rakyat Indonesia, khususnya warga Mamasa.
“Saya atas nama ketua panitia menyampaikan permohonan maaf atas kejadian ini.
“Ia sebenarnya tidak disengajakan atau kesalahan teknikal pengibar bendera,” katanya dipetik media tempatan pada Ahad.
Beliau menjelaskan, insiden tersebut berlaku akibat kegugupan anggota pengibar dan menolak dakwaan kurangnya persiapan.
Menurutnya, latihan telah dilakukan selama dua minggu bersama Tentera Indonesia dan Polis Republik Indonesia (TNI-Polri).
“Hampir terbalik kerana mungkin gugup pengibarnya dan dari segi persiapan tidak ada masalah,” jelasnya.
Welem yang juga Ketua Dinas Lingkungan Hidup Mamasa berkata, upacara tetap berjalan lancar hingga selesai.
Katanya, insiden itu wajar dijadikan pengajaran untuk semua pihak. – Agensi