Tiada lagi lampu terpasang selepas jam 11.30 malam – Warden baharu MRSM

Tiada lagi lampu terpasang selepas jam 11.30 malam – Warden baharu MRSM

am@hmetro.com.my

Besut: Empat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan sebagai warden asrama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Besut, akan melaksanakan tugas dengan prinsip ‘kebijaksanaan dalam ketegasan’ yang diterapkan dalam tentera.

Mereka adalah pegawai Waran (PW) II, Sarjan Mejar Skuadron (B) Azman Zahari dari Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu, Kelantan; Flait Sarjan (B) Kamarul Azron Che Kamaruddin dari Pangkalan Udara Gong Kedak, Besut; Sarjan (B) Rohaniza Wahab, dari Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan dan Bintara Kanan TNL (B) Rohayah Mohamed, dari KD Pelandok, Lumut, Perak.

Azman, 44, bersama tiga rakannya berterima kasih MARA kerana memberi kepercayaan kepada veteran ATM dalam usaha menangani kes buli dalam kalangan pelajar.

“Dengan pengalaman luas dalam perkhidmatan tentera, kami akan melakukan yang terbaik dalam mencapai objektif projek,” katanya ketika ditemui di MRSM Besut di sini, semalam.

Tugasan mereka bermula jam 10 malam hingga 7 pagi dan dalam tempoh itu, beberapa aktiviti dilaksanakan sebagai langkah menerapkan disiplin pelajar.

Walaupun pengalaman dalam tentera digunakan di MRSM itu, Azman berkata, kaedah digunakan tidak sama manakala setiap arahan atau aktiviti adalah bersesuaian dengan status pelajar.

“Dalam tentera kita dilatih dengan ketegasan dan kekerasan tetapi di sekolah kita bawa dalam cara lain.

“Kita kena berada dalam banyak karakter kerana semuanya seperti anak kita. Ada masa kita perlu tegas, ada masa kita perlu berlembut, ada masa kita anggap mereka sebagai kawan, ada masa kita anggap mereka sebagai anak.

“Tidak perlu guna kekerasan melampau, sebaliknya tegas secara halus, dan automatik mereka akan malu, segan serta menghormati kita.

“Tanpa disedari, disiplin tertanam dalam diri masing-masing. Apabila ada disiplin, pelajar) akan menghormati rakan, guru, orang lebih berusia termasuk ibu bapa dan keluarga,” katanya.

Selepas seminggu bertugas, Kamarul Azron, 44, mendapati tahap disiplin pelajar meningkat.

Berdasarkan perkongsian guru dan pengawal keselamatan, katanya, sebelum ini masih ada pergerakan pelajar di pekarangan asrama selepas jam 11.30 malam sedangkan mereka sepatutnya tidur manakala lampu bilik dipadamkan.

Selepas kemasukan warden luar, katanya, itu tidak lagi berlaku.

Bermula jam 10 malam, katanya, taklimat diberi selepas solat Isyak dan sebelum pulang ke asrama, pemeriksaan dibuat bagi memastikan hampir 600 pelajar mencukupi sebelum dibenar ke asrama jam 11 malam.

“Sekarang suasana malam selepas lampu dipadamkan sunyi, tidak ada bunyi suara bercakap atau melepak di kawasan asrama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top