surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bank Rakyat Johor International Marathon (BRJIM) 2025 mengumumkan tambahan hadiah wang tunai keseluruhan kepada AS$45,700 (RM194,760) khas kepada pelari tempatan.
Tawaran hadiah itu untuk peserta tempatan bagi kategori 42 kilometer (km) dan 21 km serta acara terbuka bagi kategori 10 km.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, inisiatif itu diambil sebagai pengiktirafan kepada pelari Malaysia yang kian menyerlah di pentas maraton serta sebagai galakan untuk lebih ramai masyarakat tempatan bersama-sama menyertai acara bertaraf antarabangsa itu.
“Kami percaya dengan adanya sokongan dan ganjaran seperti ini, peserta bukan sahaja lebih bersemangat untuk menonjolkan kemampuan mereka dan bersaing secara sihat, malah berpeluang mencipta rekod baharu yang mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya ketika Sesi Bersama Media sempena BRJIM 2025 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.
Menurutnya, Bank Rakyat selaku penaja utama BRJIM 2025 itu anjuran bersama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Perbadanan Stadium Johor (PSJ) yang dijadualkan berlangsung pada 9 November ini.
“Pendaftaran bagi acara maraton ini juga secara rasminya sudah dibuka secara berperingkat kepada orang ramai bermula 15 Ogos lalu dengan pelbagai pilihan kategori jarak larian iaitu 42 km bagi acara maraton penuh, 21 km bagi acara separa maraton, 10 km dan lima serta dua kilometer iaitu ‘Nuri Dash Run’ bagi larian kanak-kanak.
“Kategori pendaftaran pertama yang dibuka pada 15 Ogos lalu dengan tawaran diskaun istimewa sebanyak 30 peratus khusus untuk pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat serta pelanggan yang menggunakan ‘Payment Gateway (FPX) Bank Rakyat sudah pun tamat pada 21 Ogos lalu.
“Bagaimanapun, orang ramai masih berpeluang menyertai BRJIM 2025 pada harga istimewa menerusi kategori pendaftaran awal (early bird) yang dibuka bermula 15 Ogos hingga 31 Ogos ini, dengan pemegang kad Bank Rakyat layak menikmati diskaun tambahan sebanyak 20 peratus daripada kadar yuran penyertaan yang ditetapkan,” katanya.
Katanya, bagi pendaftaran kategori biasa (normal) pula akan dibuka kepada orang ramai bermula 1 September hingga 30 September lalu dengan diskaun eksklusif sebanyak 10 peratus untuk pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat.
“Setakat ini, lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara mendaftar dan kami menjangkakan penyertaan melebihi 8,000 peserta menjelang tarikh tutup pendaftaran pada 30 September ini,” katanya.
Menurutnya, Bank Rakyat turut memaklumkan mengenai pembabitan pelbagai jenama sukan terkemuka seperti Voltra, Decathlon, Kahf, Al-Ikhsan dan banyak lagi bagi menjayakan festival sukan ‘Bank Rakyat Sport Fest 2025’ bermula 7 hingga 9 November ini yang mana dijangka menjadi tarikan utama kepada peserta dan pengunjung dengan pelbagai aktiviti sukan lain, serta tawaran istimewa bagi barangan sukan.
“Selain itu, SKS Hospitality yang juga rakan strategik penginapan kami turut menyediakan tawaran istimewa khusus kepada peserta yang memilih Hotel Sheraton Johor Bahru, Hotel Holiday Inn Johor Bahru, Capri by Fraser Johor Bahru dan Fives Hotel Johor Bahru City Centre, termasuk Hotel Amari Johor Bahru sebagai lokasi penginapan.
“Antara tawaran istimewa yang disediakan termasuk, diskaun sebanyak 20 peratus untuk tempahan bilik, 20 peratus diskaun bagi makanan dan minuman di hotel terpilih, baucar diskaun untuk penginapan seterusnya serta banyak lagi,” katanya.
Nizam berkata, Bank Rakyat turut menjemput dan menggalakkan penyertaan murid sekolah rendah di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang yang berminat untuk menyertai acara maraton ini menerusi kategori jarak larian dua km (Nuri Dash Run) bagi kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun.
“Penyertaan kanak-kanak dalam acara maraton ini bukan sahaja dapat memberi mereka pendedahan serta pengalaman unik menyertai larian bertaraf antarabangsa, malah memupuk semangat kesukanan, meningkatkan disiplin diri dan memperkukuh daya tahan mental,” katanya.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar menerusi laman sesawang rasmi di www.johorinternationalmarathon.com, serta ikuti media sosial rasmi Bank Rakyat dari semasa ke semasa untuk maklumat lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




