Pelakon baharu yang juga pencipta kandungan, Badron Munirah menegaskan dia tidak suka disamakan dengan mana-mana artis termasuklah penyanyi popular Indonesia, Afgan.
Kata Badron, selain tidak selesa dia juga mahu dikenali dengan bakat dan identitinya tersendiri.
“Mungkin ramai yang nampak macam tu tapi saya sendiri tak nampak dimana persamaannya. Tapi dia lebih kacak.
“Sejujurnya saya tidak memikirkan sama ada saya selesa atau tidak, kerana saya paling tak suka dibandingkan dengan sesiapa. Bagi saya biarlah saya dikenali kerana diri saya sendiri tanpa perlu dibayangi orang lain,” katanya.
Badron berkata demikian ketika ditemui pada sesi bersama pelakon drama Putri & Phrince di Pavilion Bukit Bintang baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Badron atau lebih mesra disapa Mun bagaimanapun bersyukur apabila wajah tampan yang dimiliki membuka peluang untuk pengarah dan penyanyi, Liyana Jasmay memilihnya sebagai teraju utama dalam drama bersiri Viu itu.
“Sebagai pendatang baharu, saya sangat bersyukur diberi peluang membintangi drama Putri & Phrince.
“Ikutkan ini drama kedua lakonan saya tetapi kali pertama bawa watak utama.
“Kena marah dengan pengarah itu saya tak dapat elak pada awalnya. Tetapi lama kelamaan saya sudah dapat apa yang diingankan oleh Liyana Jasmay,” jelasnya.
Selain Badron, drama Putri & Phrince yang mula ditayangkan 21 Ogos lalu turut dibintangi Nesa Idrus, Adriana Adnan, Farah Nadiah dan Khayrisyah Kemal.


