mhafis@mediaprima.com.my
Gombak: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis kedai kasut di Jalan Medan Batu Caves 1, di sini hingga tular di media sosial.
Bahkan, pasukan bomba turut dihubungi untuk menurunkan Jalur Gemilang itu yang dipasang di tingkat satu bangunan terbabit.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada 11.29 pagi, 23 Ogos lalu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
“Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan pemilik premis serta individu yang terbabit sudah dirakam keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.20 pagi dan tiba di premis terbabit sembilan minit kemudian.
“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang yang tiba di lokasi mendapati Jalur Gemilang itu dalam keadaan terbalik, dan segera bertindak memanjat serta menurunkan ia dari tingkat satu bangunan.
“Bendera kemudian diserahkan kepada polis,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




