LKIM tambah kilang isi ikan

LKIM tambah kilang isi ikan

am@hmetro.com.my

Tumpat: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil inisiatif memperkukuhkan sektor hiliran termasuk merancang pertambahan kilang pemprosesan isi ikan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan untuk penghasilan produk berasaskan hasil laut itu.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata, produk berasaskan ikan seperti keropok atau makanan segera mendapat permintaan yang semakin meningkat sejajar dengan kemajuan industri pelancongan semasa.

Menurutnya, golongan nelayan dan persatuan berkaitan turut digalakkan untuk terbabit dalam sektor hiliran kerana LKIM sendiri sedia membantu dari aspek peruntukan serta kemahiran.

“Ekonomi serta bidang pelancongan negara yang semakin berkembang maju membawa kepada peningkatan permintaan produk makan termasuk yang berasaskan ikan.

“Oleh itu, bekalan isi ikan perlu dipastikan mencukupi bagi memastikan produk dapat dikeluarkan sebaiknya

“Secara tidak langsung, situasi ini membuka ruang kepada nelayan untuk menambah pendapatan dengan membabitkan diri melalui perusahaan isi ikan sekali gus menyelesaikan bahan mentah yang tidak mencukupi.

“Sebenarnya tiada isu bekalan ikan tidak cukup terutama membabitkan industri keropok , sebaliknya kurangnya pembabitan persatuan atau nelayan dalam sektor hiliran terutama untuk menyediakan isi ikan sebagai bahan utama pembuatan keropok,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Perasmian Sambutan Gelombang Samudera Madani sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Pantai Sri Tujoh di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah LKIM Hamdan Mamat.

Media sebelum ini melaporkan kekurangan bekalan ikan tamban sejak dua tahun lalu menghimpit para pengusaha keropok keping tradisional di Terengganu hingga memaksa sebahagian mereka ‘berehat’ tanpa pengeluaran selama berminggu-minggu akibat ketiadaan bahan mentah.

Situasi semakin meruncing tahun ini apabila bekalan ikan yang biasanya stabil menjelang hujung tahun kini menjadi semakin sukar untuk diperoleh, walaupun permintaan terhadap produk itu meningkat sempena musim cuti sekolah dan tengkujuh.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Faiz berkata, sektor hiliran juga memberi manfaat kepada nelayan sepanjang musim tengkujuh yang tidak dapat turun ke laut.

“Mereka boleh berniaga produk berasaskan sumber laut seperti ikan kering, pekasam dan budu sepanjang musim tengkujuh untuk mencari punca pendapatan selain hanya meluangkan masa untuk membaik pulih bot atau perahu.

“Sumber ikan boleh menghasilkan pelbagai jenis produk yang dapat membuka ruang nelayan untuk berniaga, mereka hanya perlu kreatif dan berusaha, manakala LKIM sentiasa ada untuk membantu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top