Kulinari bahasa cinta

Kulinari bahasa cinta

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Gandingan bintang popular, Im Yoona anggota kumpulan wanita dari Korea Selatan, Girls’ Generation dan pelakon meningkat naik, Lee Chae Min kini menjadi tumpuan apabila membintangi drama bersiri terbaharu dari negara itu di Netflix berjudul Bon Appetit, Your Majesty.

Naskhah romantik komedi bersejarah itu mengangkat kisah unik mengenai cef Perancis bertaraf tiga bintang Michelin, Yeon Ji Yeong (lakonan Yoona) yang secara tidak sengaja melakukan perjalanan masa ke zaman lampau.

Di sana, dia perlu bertahan hidup sebagai cef istana kepada Raja Yi Heon (Chae Min), raja zalim yang memiliki deria rasa luar biasa.

“Watak saya seorang chef yang penuh keyakinan dan tegas, tetapi tetap manis dan berjiwa besar. Dia memasak dengan penuh cinta dan kejujuran.

“Dari situ, perlahan-lahan dia membuka hati raja yang terkenal dingin,” kata Yoona di sidang media global drama itu.

Yoona yang kembali selepas beberapa tahun menyepi menerusi King The Land mengakui banyak melakukan persiapan, termasuk mengikuti kelas masakan bagi menjayakan watak itu.

“Saya minat memasak sejak lama. Tapi, untuk drama ini, saya dilatih lebih mendalam supaya benar-benar memahami peralatan, resipi dan teknik masakan. Saya harap penonton dapat merasai kesungguhan itu,” katanya.

Bon Appetit, Your Majesty bukan sekadar menyajikan kisah cinta merentas masa, malah turut menyorot konflik sosial dan perbezaan darjat yang dihubungkan melalui makanan.

Hubungan Yeon Ji Yeong dan Raja Yi Heon berkembang daripada sekadar hidangan ringan di dapur istana, ia menjelma menjadi bahasa cinta.

“Salah satu daya tarik watak Ji Yeong adalah sikap terus terang. Dia jujur mengenai perasaan. Itu yang membuatkan Yi Heon, meskipun raja yang garang, tertarik kepadanya,” kata Yoona.

Chae Min pula mengakui agak tertekan kerana Bon Appetit, Your Majesty adalah drama pertamanya yang mengangkat tema sejarah.

“Saya rasa bertanggungjawab kerana membawa watak seorang raja. Mujur Yoona dan pelakon senior banyak membantu.

“Saya juga menikmati setiap penggambaran kerana watak Yi Heon bukan sahaja zalim, tetapi ada sisi rapuh, sensitif dan kadangkala lucu,” katanya.

Drama ini turut menampilkan elemen ‘time slip’, komedi romantik dan kelazatan visual sajian kulinari. Malah, adegan Yoona memasak dan Chae Min menikmati hidangan diraja dijangka menjadi tarikan utama penonton. Menariknya, keserasian kedua-dua pelakon ini turut terserlah di luar set. Chae Min sendiri mengaku peminat Yoona sejak dahulu dan agak gementar ketika pertama kali bertemu idolanya.

“Waktu sesi baca skrip, saya terus memberitahunya bahawa saya peminat. Rasanya seperti satu sesi peminat bertemu idola. Tetapi, selepas itu kami cepat serasi dan saya rasa itu akan jelas terlihat dalam drama,” katanya.

Bagi Chae Min, sisi menarik Raja Yi Heon pula ialah sifatnya yang berlawanan, di sebalik kekerasan, tersimpan kerinduan terhadap kehangatan kasih sayang.

“Selepas kematian ibunya, istana jadi dingin. Tapi, kehadiran Ji Yeong membawa kembali rasa kehangatan itu, seolah-olah merasai hidangan dari sebuah keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top