sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain dari Sepanyol, Ager Aketxe sah menjadi rekrut terbaharu juara bertahan Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkembangan itu dimaklumkan Harimau Selatan dalam kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, hari ini.
Lebih menarik, JDT mengesahkan berjaya menyelesaikan perpindahan perancang tengah Real Zaragoza itu sejam sebelum jendela pendaftaran pertama Liga Malaysia ditutup jam 12 tengah malam tadi.
“Dari Sepanyol ke Kelab Johor Darul Ta’zim. Selamat datang ke ‘Home of the Southern Tigers’, Ager!.
“Kami menandatangani pemain tengah Ager Aketxe selepas mengesahkan perpindahan dengan Real Zaragoza satu jam sebelum jendela perpindahan ditutup malam tadi,” kata JDT.
Terdahulu, BH Sukan melaporkan JDT bakal mendapat sentuhan Aketxe selepas Real Zaragoza, semalam memaklumkan mereka mencapai persetujuan dengan Harimau Selatan bagi perpindahan bintang berusia 31 tahun itu.
“Real Zaragoza dan JDT mencapai persetujuan bagi perpindahan Ager Aketxe ke pasukan dari Malaysia itu.
“Aketxe tiba di Zaragoza pada musim lalu dari SD Eibar dan dia sudah beraksi dalam 38 perlawanan, menjaringkan dua gol serta mencatat tiga bantuan jaringan.
“Pihak Real Zaragoza mengucapkan terima kasih kepada Aketxe atas profesionalisme dan mendoakan semoga berjaya dalam fasa baharu kariernya,” kata kelab Sepanyol itu.
JDT ketika ini berada di kedudukan teratas Liga Super selepas merekodkan kemenangan bersih dalam empat perlawanan awal.
Skuad kendalian Xisco Munoz itu turut cemerlang dalam kejohanan lain termasuk menewaskan UM Damansara United 5-0 pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA selain mengatasi kelab Singapura, Lion City Sailors 3-1 ketika aksi sulung Kejuaraan Kelab ASEAN.
© New Straits Times Press (M) Bhd

