Pelakon Fattah Amin nekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pasangan pempengaruh media sosial yang didakwa memfitnahnya berlaku curang sehingga bercerai.
Memetik Harian Metro, Fattah berkata fitnah tersebut keterlaluan sehingga mencemarkan nama baiknya, keluarga serta urusan kerja.
BACA: Difitnah Curang, Fattah Amin Saman Influencer RM5 Juta
Bagaimanapun, Fattah berkata dia tidak boleh mengulas lanjut mengenai tuntutan berkenaan apatah lagi pihak mahkamah sudah memerintahkan injunksi.
“Ada sebabnya juga saya tidak boleh mengulas lebih (terhadap kes saman itu) kerana sudah membabitkan undang-undang. Mahkamah pun dah memerintahkan injunksi. Itu saja,” katanya.
Sementara itu, Fattah berkata dia tidak akan berdiam diri lagi selepas ini jika ada dakwaan fitnah yang tidak betul kerana ia boleh menjejaskan reputasinya.
“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba menjejaskan reputasi saya.
“Jadi, keputusan mahkamah hari ini juga boleh dijadikan amaran kepada orang ramai supaya tidak menabur fitnah tanpa bukti di media sosial sewenangnya tanpa memikirkan kesan kepada orang lain,” katanya.
Terdahulu, Fattah memfailkan saman dan menuntut ganti rugi RM5 juta terhadap Nuraien Adilla Hasha Akhbar, selaku defendan pertama dan suaminya, Mohd Hafizzuddin Hamri.
Sumber: Harian Metro




