anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Di lembah sunyi wilayah Kunar, Afghanistan, langit malam yang biasanya dihiasi ribuan bintang bertukar menjadi mimpi ngeri. Pada jam 11.47 malam Ahad lalu, bumi bergegar sekuat-kuatnya. Dinding rumah lumpur retak, bumbung kayu jatuh berderai dan dalam sekelip mata ribuan penduduk lenyap ditimbus serpihan batu.
Ketika ini Afghanistan meratapi lebih 1,400 nyawa yang terkorban dan lebih 3,000 mangsa cedera. Selain itu dianggarkan 5,400 rumah musnah.
Ketua Pengarah Humanitarian Assistance Society (HAS), Mohammad Bashir Wasil yang dihubungi Harian Metro semalam berkata, gegaran gempa bumi yang berpusat di daerah Kuz Kunar pada kedalaman hanya lapan kilometer itu menjejaskan beberapa daerah lain termasuk Nurgal, Sawkay, Watapur, Manogi dan Chapadara.
Menurutnya, selain kediaman penduduk, sekolah, masjid dan kemudahan kesihatan turut roboh atau tidak lagi selamat digunakan.
“Jalan raya pula ditimbus tanah runtuh sekaligus menghalang pasukan penyelamat memasuki kawasan pedalaman Afghanistan.
“Bagi rakyat Afghanistan, bencana gempa bumi bukanlah bencana asing. Pada 2022, gegaran kuat meragut lebih 1,000 nyawa di wilayah Paktika. Kini, luka lama berdarah kembali.
“Setiap kali kami mula membina semula kehidupan, bumi ini mengingatkan kami betapa rapuhnya nyawa. Di setiap rumah ada kematian. Di bawah timbunan batu dan kayu juga ada mayat. Kehancuran berlaku di mana-mana,” katanya.
Menurutnya, bau tanah bercampur debu dan darah mangsa masih menusuk dan usaha mencari mayat mangsa yang tertimbus terus dilakukan.
“Ada antara mangsa yang menetap di Nangarhar terpaksa berjalan kaki lebih 20 kilometer bersama isterinya yang cedera menuju ke kawasan bandar untuk mencari rawatan.
“Rata-rata mangsa hilang tempat berteduh, tiada makanan dan tiada air. Hanya tinggal tanah lapang yang penuh dengan runtuhan,” katanya.
Menurutnya, pasukan penyelamat terdiri daripada sukarelawan tempatan, pihak berkuasa dan kementerian Afghanistan sudah digerakkan untuk membantu.
“Mangsa yang parah terpaksa diterbangkan dengan helikopter tentera ke wilayah jiran, Nangarhar, untuk rawatan lanjut.
“Namun usaha menyelamat berdepan kekangan serius. Kami berdepan kekurangan peralatan, ubat-ubatan dan khemah perlindungan. Sekurang-kurangnya 13 gegaran susulan sehingga 5.2 magnitud memburukkan keadaan dan meningkatkan risiko tanah runtuh,” katanya,
Menurutnya, antara bantuan mendesak ketika ini adalah khemah, tilam dan selimut untuk mangsa selain makanan asas seperti beras, minyak, kacang, gula, teh dan garam.
“Mangsa juga amat memerlukan dapur, bahan api, periuk, pinggan, bekas air selain kit kebersihan asas termasuk sabun, syampu, tuala wanita dan bekalan bayi.
Beliau menegaskan, tanpa tindakan segera komuniti antarabangsa, ribuan mangsa gempa bumi di Afghanistan terdedah kepada kelaparan, penyakit dan kecederaan tidak dirawat.
Disamping itu dia turut menekankan keperluan jangka panjang seperti pembinaan semula bangunan tahan gempa, latihan kesiapsiagaan komuniti, serta sokongan kesihatan mental untuk mangsa.
Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia Society (MCM) Zulkifli Wahijan berkata, MCM mengeluarkan peruntukan segera sebanyak RM20,000 kepada mangsa gempa di Afghanistan selain menyalurkan bantuan awal melalui kolaborasi bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara berkenaan.
“Ia membabitkan kerjasama Ehsas Welfare and Social Services Organization (EWSSO) dan HAS. MCM juga merancang untuk menghantar pasukan bantuan ke sana dalam tempoh terdekat.
“Orang ramai yang mahu bersedekah dan membantu mangsa gempa bumi di Afghanistan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
