Fattah beri amaran, takkan berdiam diri jika difitnah lagi

Fattah beri amaran, takkan berdiam diri jika difitnah lagi

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Putrajaya: Pelakon popular, Fattah Amin, 35, nekad mengambil tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi berjumlah RM5 juta terhadap pasangan pempengaruh media sosial yang didakwa memfitnahnya berhubung curang sehingga bercerai kerana fitnah itu didapati sangat melampau hingga mencemarkan nama baiknya, ibu bapa, anak serta urusan kerja.

Fattah berkata, dia tidak boleh mengulas lebih lanjut mengenai tuntutan itu, namun merasakan ia bertepatan dengan tindakan undang-undang yang diambilnya.

“Ada sebabnya juga saya tidak boleh mengulas lebih (terhadap kes saman itu) kerana sudah membabitkan undang-undang. Mahkamah pun dah memerintahkan injunksi. Itu saja,” katanya.

Terdahulu, Fattah ditemui di sidang media Kempen NEX To Palestin di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, di sini, hari ini sempena mengumpul dana sebanyak RM250,000 daripada hasil jualan air mineral berkenaan.

Ditanya pendiriannya untuk kekal dengan tindakan undang-undang berkenaan, Fattah menegaskan dia tidak akan berdiam diri lagi apabila dikaitkan dengan dakwaan fitnah yang tidak betul kerana menjatuhkan reputasi.

“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba menjejaskan reputasi saya.

“Jadi, keputusan mahkamah hari ini juga boleh dijadikan amaran kepada orang ramai supaya tidak menabur fitnah tanpa bukti di media sosial sewenangnya tanpa memikirkan kesan kepada orang lain,” katanya.

Fattah menegaskan tindakan undang-undang yang dibuatnya itu bukan hanya untuk mempertahankan diri semata-mata, tetapi bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap bahaya penyebaran berita palsu.

“Terutamanya di zaman media sosial ini, kita boleh menulis apa sahaja termasuk tanpa bukti. Jadi, perkara ini sebenarnya adalah tidak baik untuk masyarakat.

“Lebih-lebih lagi sesama kita umat Islam. Tidak wajar kita menyebarkan fitnah. Kalau ada masalah, boleh berhubung dengan pengurus saya atau saya sendiri. Jangan terus lempar (fitnah) di media sosial.

“Saya juga manusia biasa. Tetapi apabila fitnah sudah terlalu melampau, maka saya rasa sudah sampai masa untuk ambil tindakan,” katanya berasa wajar memberi peringatan tegas kepada pihak lain agar lebih ada rasa hormat.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pasangan suami isteri pempengaruh media sosial iaitu Nuraien Adilla Hasha Akhbar atau lebih dikenali sebagai Elcah, 29, dan suaminya, Mohd Hafizzuddin Hamri, 29, menurunkan hantaran di Threads yang didakwa berunsur fitnah terhadap Fattah.

Menurut peguam mewakili Fattah iaitu Mohd Faiz Iskandar Hamzah, permohonan injunksi sementara (ad-interim) berkenaan yang difailkan anak guamnya itu diluluskan oleh Hakim Datuk Anand Ponnudurai.

Sebelum ini, pada 26 Ogos lalu Fattah memfailkan saman terhadap pasangan terbabit berhubung kenyataan yang diterbitkan mereka di Threads pada 29 Julai dan 22 Ogos lalu.

Kenyataan itu mendakwa Fattah berlaku curang ketika masih bergelar suami kepada pelakon Nur Fazura sehingga membawa kepada perceraian mereka.

Fattah dalam tuntutannya juga memohon injunksi bagi menghalang pasangan itu daripada terus mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah, selain menuntut permohonan maaf tidak bersyarat di semua akaun media sosial mereka.

Pada tuntutan undang-undangnya, Fattah juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan berjumlah RM5 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top