am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah memuktamadkan tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, BN hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Setelah meneliti semua fakta dan butiran daripada perbincangan tiga pihak sebelum ini, saya menyampaikan keputusan kepimpinan UMNO bahawa kami mengekalkan kerjasama BN-PH.
“Namun, BN Sabah dan UMNO Sabah memutuskan secara muktamad bahawa tidak akan ada kerjasama dengan GRS,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik UMNO Sabah, di sini, malam tadi.
Presiden UMNO itu menghadiri mesyuarat Biro Politik UMNO Sabah di Bangunan UMNO Sabah, di sini, malam tadi untuk memaklumkan mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin GRS, baru-baru ini.
Katanya, pertemuan kepemimpinan dalam Kerajaan Perpaduan yang terbabit dalam PRN17 Sabah itu, diadakan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat berkenaan selaku Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani.
“Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor, bersama-sama tiga orang pemimpin parti dalam gabungan GRS, pemimpin parti dalam gabungan PH serta pemimpin daripada UMNO,” katanya.
Dalam perbincangan itu katanya, Perdana Menteri menyatakan supaya seboleh mungkin dielakkan pertandingan tiga penjuru atau pertindihan kerusi yang akan dimuktamadkan.
Berikutan itu, Ahmad Zahid berkata, mereka bersetuju untuk membentuk jawatankuasa teknikal yang mewakili GRS, BN dan PH dengan beberapa siri perundingan dilakukan sama ada di Kota Kinabalu ataupun di Kuala Lumpur.
“Maka, merujuk kepada perbincangan yang diadakan tadi, saya bersama-sama dengan rakan kepimpinan UMNO menyampaikan keputusan kepada ahli Jawatankuasa Biro Politik UMNO Sabah,” katanya.
Katanya, keputusan BN dan UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS adalah muktamad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




