Pewangi buatan sendiri

Pewangi buatan sendiri

nurul_husna@hmetro.com.my

Kehadiran bau tertentu boleh memberi kesan tidak selesa dan implikasi psikologi kerana dapat merangsang emosi serta psikologi bersifat negatif.

Ruang kediaman dan kenderaan umpamanya antara tempat kebanyakan individu menghabiskan masa terutama selepas bekerja atau ruang santai.

Senario itu menunjukkan betapa pentingnya persekitaran bau yang menyenangkan.

Bau yang segar boleh menaikkan mood, mengurangkan tekanan dan menggalakkan tumpuan.

Persekitaran yang berbau segar sering dikaitkan dengan kebersihan dan keselamatan, menyumbang kepada rasa tenang dan positif.

Langkah lain lebih efektif ialah menggunakan penyegar bilik atau ruang dan ia boleh dihasilkan sendiri dengan pelbagai kaedah.

Berikut antara langkah mudah untuk hasilkan penyegar atau pewangi ruang bagi kegunaan peribadi:

1. Penyegar bilik atau kenderaan berasaskan garam.

Bahan-bahannya

– 2 sudu besar garam epsom atau bukit

– 1 sudu besar serbuk soda penaik

– 15 titis pati minyak lemon atau lavender

– 3 cawan air

Penyediaan

– Sediakan periuk dan masukkan semua bahan tadi.

– Panaskan di atas api kecil sehingga semua bahan larut dan sebati.

– Biarkan sejuk dan simpan dalam botol penyembur untuk digunakan.

– Boleh semburkan terus ke material sesuai seperti kusyen, langsir dan sofa.

– Kaedah lain ialah disembur kepada kapas atau span nipis dan biarkan menyerap. Kemudian gantung atau letakkan di depan kipas.

2. Pewangi bilik menggunakan pelembut pakaian

Bahan-bahannya

– 2 sudu besar garam bukit

– Pad kapas atau kapas kosmetik.

– 1 sudu besar soda penaik

– 1 sudu besar cuka putih

– 3 titis pelembut pakaian (ikut kepada kuat bau pewangi)

– 7 hingga 10 biji bunga cengkih.

Penyediaannya

– Sediakan bekas plastik (saiz kecil). Masukkan pad kapas sebagai lapisan sehingga menutupi ruang dalam keliling bekas plastik terbabit.

– Kemudian masukkan garam bukit, diikuti dengan soda penaik dan cuka putih. Boleh lihat ada tindak balas iaitu bahan tadi sebaik cuka dicampur akan ada buih-buih putih terhasil.

– Kemudian titiskan pelembut dan akhir sekali taburkan bunga cengkih.

Letakkan di ruang yang seperti penjuru bilik atau kabinet. Boleh juga di depan kipas atau kawasan pengudaraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top