harisfadli@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang lelaki warga asing bukan sahaja tidak memiliki lesen vokasional (PSV), malah dengan selamba memandu sebuah bas tanpa insurans dan cukai jalan yang tamat tempoh.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki warga Sri Lanka berusia 30-an itu ditahan menerusi Ops Gempur Kenderaan Perdagangan di Lebuhraya Persekutuan, di sini, hari ini.
“Warga asing berkenaan mendakwa baru mula bekerja sebagai pemandu bas pekerja berkenaan sejak enam bulan lalu atas arahan majikannya.
“Semakan mendapati bas terbabit didaftarkan di atas sebuah syarikat pengangkutan dan disita untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, 10 saman dikeluarkan ke atas kenderaan berkenaan membabitkan pelbagai kesalahan, antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans, pemeriksaan tamat tempoh, dan tiada lesen memandu yang sah.
Katanya, pihak JPJ Selangor khususnya sentiasa menjalankan pemantauan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pemandu serta pemilik kenderaan terbabit.
Menurutnya, sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang ramai boleh disalurkan menerusi emel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan butiran aduan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




