Belgium 'mengamuk' benam Liechtenstein

Belgium 'mengamuk' benam Liechtenstein

Vaduz: Belgium berpesta gol ketika membelasah Liechtenstein 6-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 Kumpulan J, dengan kapten Youri Tielemans meledak dua jaringan di Rheinpark Stadion.

Selain Tielemans, jaringan Belgium turut disumbangkan Maxim De Cuyper, Arthur Theate, Kevin De Bruyne dan Malick Fofana yang meraikan gol antarabangsa pertamanya.

Kemenangan itu meletakkan Belgium di tangga ketiga kumpulan pada tujuh mata selepas tiga perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu, Wales yang bermain lebih dua perlawanan. Liechtenstein pula kekal tercorot selepas tewas empat kali berturut-turut.

Belgium yang mendominasi permainan terpaksa menunggu sehingga minit ke-29 untuk gol pertama apabila De Cuyper menanduk masuk hantaran Thomas Meunier, sebelum sepakan jarak jauh Theate menggegar palang.

Babak kedua bermula dengan bergaya apabila Tielemans melepaskan voli kencang dari jarak 25 meter yang menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Theate kemudian menambah jaringan menerusi tandukan sebelum De Bruyne menyempurnakan hantaran cantik Hans Vanaken untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Tielemans menambah gol kedua peribadi menerusi sepakan penalti pada minit ke-70, manakala Fofana melengkapkan pesta jaringan dengan penyudah kemas pada penampilan antarabangsa keduanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top