am@hmetro.com.my
Kuching: Penampilan artis terkenal Bumi Kenyalang, Dayang Nurfaizah dan Amir Jahari menjadi tarikan utama konsert penutup tirai pada hari terakhir Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai, malam ini.
Konsert dibawakan U Mobile itu turut menampilkan penyanyi cantik, Wany Hasrita dan kumpulan popular dengan lagu-lagu rancak, Floor 88 serta Hael Husaini.
Tidak hairanlah, pengunjung tidak mahu berganjak daripada tempat duduk masing-masing yang sudah mereka ‘tempah’ seawal jam 4 petang untuk menunggu penampilan artis kesayangan.
Penutup tirai KJH Segulai Sejalai malam ini akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Salah seorang pengunjung, Suhaila Sabeli, 30, berkata dia bersama dua rakan tiba sejak jam 4 petang lagi dan sanggup menunggu hingga malam bagi menyaksikan konsert.
“Cuaca malam ini nampaknya cukup baik, sebab saya datang awal bersama kawan-kawan kerana tidak mahu terlepas sudut menarik untuk menyaksikan konsert.
“Semalam pun kami datang, tetapi hujan lebat menyebabkan suasana kurang meriah meskipun artis yang membuat persembahan semuanya hebat,” katanya.
Semalam, konsert yang berlangsung dalam hujan menampilkan Lan Solo, Marsha Milan, Ara Johari, Haiza dan Datuk Aishah.
KJH Segulai Sejalai Sarawak 2025 yang bermula Jumaat lalu di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini, menyajikan hiburan, tawaran menarik dan aktiviti mesra keluarga dalam meraikan semangat kebersamaan penduduk Sarawak.
Selain konsert Jom Heboh selama dua malam berturut-turut, pelbagai aktiviti kekeluargaan seperti pertandingan karaoke, permainan pentas dan sesi ramah mesra bersama selebriti drama TV3 serta personaliti Media Prima Berhad (MPB) diadakan.
KJH Segulai Sejalai Sarawak 2025 dijayakan dengan kerjasama strategik Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
© New Straits Times Press (M) Bhd




