Kaunas, Lithuania: Memphis Depay mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Belanda selepas menjaringkan dua gol ketika menang 3-2 ke atas Lithuania dalam aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.
Depay yang kini bermain di Brazil bersama Corinthians, menjaringkan gol ke-51 dan ke-52 bersama skuad kebangsaan, mengatasi Robin van Persie yang sebelum ini berkongsi kedudukan teratas dengannya menerusi 50 gol untuk Oranje.
Penyerang berusia 31 tahun itu membuka tirai jaringan dengan menyempurnakan hantaran lintang rendah daripada Cody Gakpo, sebelum Quinten Timber menambah gol kedua untuk Belanda pada minit ke-33 di Kaunas.
Belanda dilihat berada di landasan selesa, namun pemain tengah Torino, Gvidas Gineitis, merapatkan jurang dan Edvinas Girdvainis menanduk masuk gol penyamaan sebelum tamat separuh masa pertama untuk pasukan yang kini berada di ranking ke-143 dunia.
Namun, Depay muncul penyelamat apabila menanduk masuk hantaran Denzel Dumfries sejurus selepas sejam permainan.
Keputusan itu meletakkan pasukan kendalian Ronald Koeman di tangga teratas Kumpulan G kelayakan Eropah untuk Piala Dunia tahun depan di Amerika Utara.
Belanda mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan terikat dengan Poland yang mengumpul jumlah sama selepas menewaskan Finland 3-1 manakala Lithuania di tempat keempat dengan tiga mata daripada lima perlawanan.
Juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir, manakala naib juara akan mara ke peringkat play-off.
Terdahulu, Georgia menewaskan Bulgaria 3-0 di Tbilisi dalam aksi Kumpulan E, dengan kapten Khvicha Kvaratskhelia, Nika Gagnidze dan Georges Mikautadze masing-masing menjaringkan gol.
Sepanyol pula membelasah Turkiye 6-0 di tempat lawan dalam kumpulan sama yang menyaksikan Mikel Merino meledak hatrik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




