Setahun sekali baru dapat rasa daging

Setahun sekali baru dapat rasa daging

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kampot (Kemboja): Bagi sebahagian komuniti Islam di Kampung Samroang, di sini, Aidiladha bukan sekadar perayaan, sebaliknya detik paling dinanti kerana hanya ketika itu mereka berpeluang menikmati daging bersama keluarga.

Ada antara penduduk yang hidup serba daif mengakui tidak mampu membeli daging pada hari biasa berikutan harganya mahal berbanding pendapatan mereka sebagai petani, nelayan dan pemandu tuk-tuk.

Mendedahkan perkara itu, tenaga pengajar di Madrasah Nurul Hidayah, Kampung Khbel Romih, Ayub Sobri, 38, berkata, ada keluarga yang hanya merasa daging setahun sekali ketika Aidiladha.

“Kalau daging di sini, harga sekitar AS$8 (RM35) sekilogram. Jadi orang yang kurang berkemampuan memang susah hendak beli.

“Menu harian kebanyakan keluarga di sini lebih banyak berasaskan ikan kerana lebih murah dan mudah diperoleh,” katanya ketika ditemui di Masjid An-Nur, Kampung Samroang, hari ini.

Menurutnya, Aidiladha sentiasa dinantikan penduduk kerana ia membawa kegembiraan kepada anak-anak dan keluarga yang sudah lama tidak menikmati juadah berasaskan daging.

“Kebiasaan setiap tahun memang penduduk menunggu Aidiladha.

“Alhamdulillah, tahun ini, rombongan dari Malaysia melalui Bank Rakyat datang lagi dan kami sangat gembira,” katanya.

Ayub berkata, apabila mendapat bekalan daging ketika Aidiladha, kebanyakan keluarga akan memasak kari dan daging bakar untuk dinikmati bersama-sama.

Sementara itu, guru agama, Nasirin, 30, berkata, keadaan ekonomi yang sukar menyebabkan ada penduduk tidak mampu membeli daging walaupun untuk keperluan keluarga sendiri.

“Memang ada yang setahun Aidiladha baru dapat rasa daging.

“Kebanyakan penduduk kerja kilang, nelayan dan kerja kampung dengan pendapatan sekitar AS$300 (RM1,275) sebulan,” katanya.

Nasirin yang mengajar agama secara percuma sejak lima tahun lalu berkata, walaupun hidup sederhana, komuniti Islam di kampung berkenaan tetap menyambut Aidiladha dalam suasana meriah dan penuh kesyukuran.

“Terima kasih kepada semua penyumbang, terutama dari Malaysia yang sudi berkongsi rezeki dengan kami di sini.

“Kami doakan semoga Allah SWT menerima amal mereka (penyumbang) dan memberi keberkatan kepada yang telah membantu,” katanya.

Tinjauan Harian Metro yang turut merasai sendiri suasana Aidiladha di Masjid An-Nur mendapati ratusan penduduk mula memenuhi perkarangan masjid sejak awal pagi untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan melihat proses penyembelihan haiwan korban.

Difahamkan, komuniti Islam di Kampot dianggarkan melebihi 50,000 orang membabitkan kira-kira 3,000 keluarga Muslim yang kebanyakannya tinggal di kawasan perkampungan.

Untuk rekod, sebanyak 52 ekor lembu bernilai lebih RM178,360 disumbangkan Bank Rakyat menerusi Program Kembara Korban Kemboja 2026 bagi menjayakan ibadah korban dan kebajikan yang menyantuni penduduk serba kekurangan di sekitar Kampot.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top