Komuniti Islam Kampot diraikan dengan 52 lembu korban

Komuniti Islam Kampot diraikan dengan 52 lembu korban

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kampot (Kemboja): Di sebalik kemeriahan Aidiladha di tanah air, nasib komuniti Islam pedalaman di Kemboja terus mendapat perhatian apabila Bank Rakyat meneruskan misi kemanusiaannya menerusi edisi ketujuh Program Kembara Korban Kemboja, tahun ini.

Sebanyak 52 ekor lembu bernilai lebih RM178,360 disumbangkan bagi menjayakan program korban dan kebajikan yang menyantuni penduduk serba kekurangan di sekitar Kampot.

Daripada jumlah itu, sebanyak 5,400 keluarga daripada 24 kampung menerima agihan daging korban dengan setiap keluarga memperoleh sekitar 500 gram hingga 1 kilogram bagi memastikan manfaat ibadah korban dapat disalurkan secara menyeluruh kepada komuniti Islam setempat.

Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, program berlangsung dari 26 hingga 30 Mei itu adalah kesinambungan inisiatif Kembara Kemboja yang diperkenalkan sejak 2015.

Katanya, program berkenaan sudah dilaksanakan sebanyak enam kali sebelum ini termasuk pada 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2025.

“Program ini bertujuan menyantuni penduduk di kawasan pedalaman Kemboja yang hidup dalam serba kekurangan disamping memberi peluang kepada komuniti Islam di negara berkenaan merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Ibadah korban ialah landasan terbaik bagi institusi perbankan Islam seperti Bank Rakyat untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam tanpa mengira lokasi sekali gus membuktikan komitmen Bank Rakyat sebagai organisasi yang sentiasa cakna dan prihatin terhadap keperluan golongan memerlukan.

“Kami percaya setiap sumbangan, walau sekecil mana, mampu membawa makna besar kepada setiap komuniti dan memperkukuh aspirasi kami sebagai Bank ‘Untuk Semua’,” katanya pada Program Kembara Korban Kemboja di Masjid An-Nur, Kampung Samroang, di sini, hari ini.

Nor Haimee berkata, aktiviti penyembelihan korban dijalankan di Masjid An-Nur dan Maahad Imam Shafie, Kampung Keh, hari ini.

Katanya, daging korban kemudian diagihkan kepada penduduk Kampung Phum Cham dan kawasan sekitar yang majoritinya terdiri daripada komuniti Islam setempat.

Menurutnya, selain ibadah korban, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut diteruskan melalui pengagihan bakul makanan kepada 100 keluarga asnaf.

“Agihan itu akan dilaksanakan di Masjid Ar-Rahim, Kampung Dontauk serta Kampung Trapeang Prinh pada esok,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Haimee berkata, program itu disertai 12 peserta terdiri daripada wakil Bank Rakyat, Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat, Yayasan As-Syafi’e, Surau Bangi Perdana serta wakil media tempatan.

“Wakil daripada media tempatan yang terbabit termasuk Harian Metro, Bernama, Sinar Harian dan Suara Merdeka.

“Antara rakan strategik yang menjayakan program itu ialah Surau Al-Barakah, Maahad Imam Syafi’e, Pusat Wakaf Endowmen Zakat Khairat dan Sedekah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Yayasan As-Syafi’e, Shafi’e Charitable Association serta Surau Bangi Perdana,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menyediakan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dengan deposit permulaan serendah RM20 bagi membantu umat Islam membuat simpanan khusus untuk ibadah korban.

“Inisiatif itu dilihat mampu memberi peluang kepada orang ramai merancang kewangan lebih awal secara mudah dan teratur menjelang musim ibadah korban setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, akaun simpanan itu terbuka kepada individu beragama Islam berusia 18 tahun ke atas selain menawarkan kemudahan perbankan internet iRakyat, Kad Debit-i dan pendaftaran korban secara dalam talian.

“Pengendalian ibadah korban itu turut diuruskan oleh pihak berpengalaman dan diyakini bagi memastikan proses pelaksanaan berjalan lancar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top