am@hmetro.com.my
Kangar: Bekas ketua balai bomba direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa kerana meminta wang sewaan tanah sawah milik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berjumlah RM12,000 pada 2023 dan tahun lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan ke atas suspek berusia 49 tahun oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor yang membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM).
Suspek sebelum itu ditahan jam 4 petang semalam, di Pejabat SPRM Perlis selepas dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.
Sumber berkata, anggota bomba itu dipercayai menggunakan kuasa ketika menjadi ketua sebuah balai di Perlis pada 2023 dan tahun lalu untuk meminta wang sewaan tanah daripada seorang pesawah sebanyak RM12,000 bagi tempoh empat musim penanaman.
Katanya, sebahagian tanah sawah berkenaan adalah milik JPBM di sekitar kawasan Simpang Empat.
“Suspek dipercayai menggunakan kuasa dan jawatannya dalam melakukan rundingan secara terus kepada petani untuk mengerjakan tanah sawah yang berkeluasan lebih dua hektar.
“Suspek dipercayai meminta wang sewa tanah sebanyak RM3,000 semusim dan ini berlaku untuk empat musim bermula 2023 hingga akhir tahun lalu,” katanya.
Katanya, segala urusan pemilihan petani serta pembayaran sewa tanah tidak dilakukan mengikut prosedur yang sepatutnya.
“Suspek dipercayai tidak mengikut prosedur sepatutnya melalui jabatan yang diwakilinya serta Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian (JKPTG) kerana tanah berkenaan adalah milik Kerajaan Persekutuan.
“Segala urusan pembayaran sewa dipercayai dilakukan secara tunai,” katanya.
Februari lalu, suspek pernah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu yang mencecah RM30,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Ghani mengesahkan penahanan suspek.
© New Straits Times Press (M) Bhd




