Kampung Sungai Baru: Sebarang rundingan hanya antara penduduk, pemaju – Zaliha

Kampung Sungai Baru: Sebarang rundingan hanya antara penduduk, pemaju – Zaliha

Putrajaya: Sebarang rundingan berhubung isu operasi pengosongan kediaman di Kampung Sungai Baru perlu dibuat antara penduduk dengan pemaju, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau menjelaskan, isu pengosongan itu sudah ditetapkan oleh mahkamah dan bukan diputuskan oleh kerajaan.

“Kerajaan hanya berperanan memudah cara dari segi syarat pembangunan serta urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kalau nak berbincang mengenai pengosongan, ia sudah ditentukan oleh mahkamah. Itu bukan keputusan kerajaan dan kalau penduduk mahu bincang lagi, mereka kena rujuk kepada pemaju, sebab tanah itu sudah menjadi milik pemaju,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan jawatankuasa hak penduduk kampung berkenaan yang menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan berhubung isu terbabit.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha, berkata, proses pengosongan yang dijalankan adalah berdasarkan keputusan mahkamah dan dilaksanakan oleh pihak bailif.

Dr Zaliha berkata, isu Kampung Sungai Baru sudah berlarutan hampir sembilan tahun dan kini menjadi tanggungjawab kerajaan menyelesaikannya.

“Ini isu legasi. Kalau duduk di tempat penduduk yang sudah menunggu rumah hampir sembilan tahun, tentu kita faham perasaan mereka.

“Projek itu bermula sejak 2021 di bawah notis Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dan kini Kerajaan MADANI mengambil amanah untuk memastikan pampasan adil serta kediaman lebih selesa disediakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top