Pempengaruh cetus kontroversi dengan video tangkap buaya

Pempengaruh cetus kontroversi dengan video tangkap buaya

Canberra: Seorang pempengaruh dari Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan nama “The Real Tarzann” kini disiasat pihak berkuasa Australia selepas merakam aksi berbahaya menangkap buaya liar di Queensland, lapor BBC.

Mike Holston mencetuskan kemarahan ramai apabila memuat naik dua video kontroversi, iaitu satu menunjukkan dia ‘bergusti’ dengan buaya air tawar sehingga cedera manakala satu lagi memaparkan aksinya mengendalikan seekor buaya air masin.

Pihak berkuasa Queensland menegaskan tindakan Holston adalah “amat berbahaya dan haram” serta boleh dikenakan denda maksimum sehingga 37,500 dolar Australia (kira-kira RM105,00).

Walaupun Holston mendakwa aksinya bertujuan untuk “pendidikan”, pakar hidupan liar menyifatkan perbuatannya sebagai kejam, malah dia turut dilabel sebagai “orang bodoh” oleh pemimpin negeri itu.

Bapa kepada mendiang pakar hidupan liar terkenal Steve Irwin, turut mengecam hebat tindakan itu dan mencadangkan supaya individu seperti Holston “dihalau keluar” kerana tidak menghormati hidupan liar Australia.

Beliau menegaskan, aksi pempengaruh itu tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan legasi anaknya. “Ini bukan isu Steve Irwin. Ini mengenai seorang individu yang secara haram mengganggu fauna yang dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sesiapa yang benar-benar tahu cara mengendalikan buaya, tahu haiwan itu tidak bertindak balas dengan baik apabila ditangkap. Lelaki ini jelas tidak tahu apa-apa,” tambahnya.

Beliau turut menyelar platform media sosial yang memainkan peranan “mengagungkan” interaksi berbahaya dengan haiwan liar selain menyifatkan hukuman sedia ada “amat tidak setimpal”.

Bagaimanapun, Holston mempertahankan tindakannya dengan berkata, haiwan itu dilepaskan semula selepas “dilihat dari dekat dan diambil gambar” dan dia tidak menggalakkan sesiapa pun untuk meniru aksinya.

Insiden ini berlaku hanya beberapa bulan selepas seorang lagi pempengaruh AS, Sam Jones, dikecam kerana merakam video mengambil seekor anak wombat dari tepi jalan sambil ketawa dan melarikan diri dari ibu haiwan itu.

Kontroversi itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, yang secara sinis mencabar pempengaruh terbabit melakukan perkara sama terhadap haiwan yang boleh melawan.

“Cuba ambil anak buaya daripada ibunya dan lihat apa jadi,” kata Albanese ketika itu, yang menyebabkan pempengaruh wanita berkenaan meninggalkan Australia tidak lama selepas kemarahan tercetus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top