sukan@hmetro.com.my
Seremban: Hasrat skuad bola keranjang remaja negara untuk mempamerkan kebangkitan tidak kesampaian apabila tewas kepada Indonesia, 44-66, pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Kejohanan Bola Keranjang Wanita Bawah 16 Tahun Piala Asia 2025 (FIBA U16) di Karisma Arena, lewat petang tadi.
Ini kekalahan kedua dialami pasukan remaja negara selepas tunduk kepada Hong Kong, 61-72, semalam dan mereka hanya melakar satu kemenangan ke atas Tonga, pada aksi pembuka tirai, untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga.
Jururulatih, Nur Izzati Yaakob, akui pemainnya gagal mengekalkan persembahan terbaik seperti mana diharap, malah perancangan yang disusunkan jelas tidak menjadi.
“Pasukan negara gagal mengekalkan momentum baik dalam perlawanan. Kita tidak dapat bangkit dan menebus kekalahan pada perlawanan terdahulu, meskipun ada usaha tapi jelas pemain tidak cukup pengalaman untuk berdepan pasukan Indonesia.
“Pemain Indonesia dilihat beraksi lebih baik dan berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan apabila suatu ketika mereka sudah berada di depan dengan mendahului 12-14 dan kemudian melebarkan lagi jurang kepada 24-39.
“Banyak peluang dicipta pemain negara tapi lontaran ke dalam jaring kurang menjadi. Walaupun pada separuh masa kedua pemain berusaha untuk memberikan saingan, namun jelas sukar untuk memintas mereka apabila jumlah jaringan terus melebar,” katanya selepas berakhir perlawanan.
Menurut Nur Izzati, pasukan negara bakal bertemu Iran (Kumpulan A) bagi penentuan tempat ke separuh akhir, Rabu ini dan beliau sedar ia adalah perlawanan penting dalam menentukan maruah dan hala tuju pasukan pada kejohanan ini.
Katanya, pasukan negara perlu menang ke atas Iran jika mahu memastikan tempat dalam kelompok empat pasukan terbaik.
“Memang ia suatu tugas yang mencabar, tapi pasukan negara tiada pilihan kecuali memperagakan aksi lebih bertenaga kerana ia satu-satu peluang untuk melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan ini.
“Fokus kami sekarang adalah untuk mengembalikan keyakinan serta semangat pemain selepas mengalami dua kekalahan selain menyusun semula strategii terbaik bagi menjelang perlawanan itu, Rabu ini.
“Saya berharap hari rehat esok dapat digunakan sebaik mungkin untuk membina kekuatan baharu sebelum turun menentang Iran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




