Melaka FC akur terkandas saingan piala FA

Melaka FC akur terkandas saingan piala FA

sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Koordinasi tidak teratur serta kegagalan mengekalkan disiplin menjadi punca skuad Melaka FC tersingkir dalam saingan Piala FA pada aksi timbal balik menentang Penang FC di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.

Ketua jurulatih Melaka FC, K Devan, berkata anak buahnya tidak bermain mengikut taktikal dirancang selain faktor ketiadaan penyerang utama mereka yang berdepan masalah kecederaan turut merencatkan persembahan pasukan.

“Kita tiada penyerang utama selepas seorang tidak dapat dibawa kerana cedera dan seorang lagi Sharel Fikri juga cedera dan terpaksa dikeluarkan jadi kita masukkan Danilo Augusto yang pada asalnya berada di posisi pertahanan untuk bermain sebagai penyerang.

“Kita buat kesilapan menyebabkan gol pertama lawan dan itu melemahkan semangat kita. Sepatutnya kita tidak boleh bolos dan mendapatkan gol awal jika kita ingin meneruskan perjuangan dalam Piala FA tetapi sebaliknya yang berlaku,” katanya.

Walaupun terkilan dengan kekalahan itu, Devan berkata, aksi berkenaan memberi minit permainan berharga kepada beberapa pemain muda serta pemain import yang masih dalam proses mendapatkan rentak permainan dan tahap kecergasan optimum.

“Kami memberi peluang kepada penjaga gol dari pasukan bawah 20 tahun (B20), Haziq Aiman untuk bermain selain mencuba pemain muda lain seperti Afeeq Iqmal, Umar Hakeem Suhar (B23) dan Haziq Aiman (B20).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top