Tidak kejar populariti

Tidak kejar populariti

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Nama Ryenald Guntabid mungkin kedengaran baharu di persada muzik arus perdana, namun bintang kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini sudah pun mencipta sejarah tersendiri apabila menggenggam dua trofi utama di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) baru-baru ini.

Lebih manis, bukan calang-calang kategori yang dirangkul apabila Ryenald diumumkan sebagai pemenang Vokal Lelaki Terbaik serta Artis Baharu Terbaik, sekali gus meletakkan dirinya sebaris dengan nama-nama besar yang pernah mendominasi pentas anugerah berprestij itu.

Bagi penyanyi berusia 29 tahun ini, kemenangan itu bukan sekadar kejayaan peribadi, malah tanda penghormatan kepada mereka yang lebih lama berkecimpung dalam industri muzik.

“Saya sangat gembira dan berbangga kerana dapat bersaing dengan nama besar seperti Amir Masdi, Akim, Hazama dan Hafiz Suip.

“Mereka semua senior saya dan banyak yang saya pelajari daripada mereka. Jadi, kemenangan ini adalah satu bentuk penghargaan serta ucapan terima kasih saya kepada mereka,” katanya.

Mengakui dirinya tidak pernah menjangkakan kemenangan itu, Ryenald menyifatkannya sebagai rezeki yang datang tanpa diduga.

Namun, dalam masa sama, ia turut menjadi cabaran baharu untuk dirinya dan pasukan kreatif di belakang tabir.

“Selepas kemenangan besar ini, pastinya ada tekanan. Bukan hanya untuk saya, malah untuk pasukan saya juga. Harapan kami, selepas ini dapat menghasilkan karya yang sama hebat atau lebih baik daripada sekarang,” katanya.

Ryenald tidak menafikan kemenangan di AIM24 akan membuka ruang lebih besar buat dirinya dikenali. Namun, bagi anak seni yang sudah enam tahun bertapak dalam industri ini, populariti bukanlah matlamat utama.

“Saya harap populariti ini membuatkan lebih ramai orang mengenali karya saya sama ada yang sudah diterbitkan atau yang bakal hadir pada masa depan,” katanya.

Mengimbas kembali perjalanan seni sejak kecil, Ryenald menyifatkan muzik sebagai impian yang sudah lama terpatri dalam dirinya.

“Berkarya adalah impian sejak kecil. Jadi, bila orang mengenali saya kerana muzik, itu sudah cukup bermakna,” katanya.

Ditanya mengenai arah tuju selepas ini, Ryenald memberi bayangan mahu lebih bereksperimen dengan muzik.

“Tidak semestinya hanya kekal dalam satu genre. Selepas ini mungkin saya akan cuba teroka genre lain pula,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Ryenald, setiap karya yang dihasilkan bukan sekadar untuk kepuasan diri, tetapi juga sebagai usaha meninggalkan sesuatu yang lebih besar buat generasi akan datang.

“Semua orang bila semakin dewasa pasti mahu meninggalkan legasi. Itu juga impian saya, meninggalkan legasi melalui lagu dan muzik yang saya hasilkan.

“Anugerah pula saya anggap sebagai bonus dan pendorong untuk terus buat lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top