am@hmetro.com.my
Shah Alam: Lencongan di Jalan Meru adalah disebabkan binaan rumah ibadat dan urusan penyenggaraan Jalan Persekutuan itu sudah diserah kepada pengendali Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sejak 2018.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang menjelaskan penyerahan terbabit bagi kerja pembinaan LRT3 dan naik taraf jalan.
“Pada peringkat perancangan, terdapat reka bentuk baharu jalan yang memerlukan perobohan struktur tokong (di hadapan) dan kuil (di belakang) terbabit.
“Tokong dan kuil itu berada di dalam Right of Way (ROW) LRT3. Bagaimanapun pihak LRT3 melalui Prasarana Malaysia Berhad hanya dapat mengambil sebahagian struktur kuil sahaja.
“Pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan JKR Klang telah turun padang pada 13 Mei lalu bagi meneliti isu ini kerana melibatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya hari ini.
JKR berkata, penerimaan jalan itu hanya boleh dilaksanakan setelah audit kriteria penerimaan jalan dilaksanakan oleh pihak Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Ibu Pejabat JKR Malaysia.
“Sehingga kini, jalan ini masih belum diserahkan kepada pihak JKR daripada pihak LRT3 untuk penyenggaraan,” katanya.
Sementara itu MBDK dalam kenyataan ringkas berkata, hasil semakan pihak Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Diraja Klang mendapati, kedudukan kuil melencong dan sudah dirujuk kepada Pejabat Tanah Daerah Klang serta JKR untuk tindakan kerana laluan berkenaan di bawah seliaan agensi terbabit.
“MBDK juga merujuk perkara ini kepada MIROS kerana ia melibatkan isu keselamatan di lokasi tersebut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



