Pelakon dan pengacara, Zoey Rahman meluahkan rasa bimbang terhadap gaya hidup sesetengah lelaki masa kini yang gemar memakai seluar ketat atau slim fit.
Sebagai seorang selebriti yang menitikberatkan soal kesihatan, usahawan kosmetik jenama Mika Series itu mengingatkan golongan lelaki agar lebih berhati-hati mengikuti trend fesyen yang berisiko menjejaskan kesihatan alat sulit.
“Zaman sekarang, fesyen atau stail hipster menjadi trend golongan lelaki muda. Saya sendiri pun tidak terlepas mengikut trend fesyen semasa.
“Iyalah, saya perlu mengikut trend semasa namun dalam masa yang sama, saya sendiri jarang memakai seluar ketat demi keselesaan dan kesihatan alat sulit.
“Namun dalam berfesyen, saya risau apabila terdapat sesetengah lelaki yang gemar memakai seluar ketat atau slim fit tidak sedar itu sebenarnya membahayakan alat sulit mereka,” katanya.

Zoey menambah, sebagai seorang selebriti, dia berasa bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang bermanfaat kepada masyarakat.
“Walaupun saya bukan doktor, tetapi saya sering mengikuti perkongsian ilmu kesihatan daripada para doktor dalam acara kesihatan atau dalam media sosial.
“Memakai seluar ketat sebenarnya boleh mendatangkan kesan negatif kepada alat sulit lelaki. Misalnya ia boleh meningkatkan suhu kawasan testis, merosakkan saraf dan salur darah, serta menyebabkan kerengsaan kulit dan jangkitan,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang doktor perubatan dan penceramah kesihatan berpengalaman, Dr Afif Mohd Ridzwan turut menjelaskan risiko yang boleh menimpa lelaki yang gemar memakai seluar ketat.
“Suhu badan kita adalah 37 darjah selsius. Manakala suhu testis pula memerlukan suhu hanya 35 darjah selsius.
“Kalau pakai seluar ketat sehingga menyebabkan testis rapat dengan badan, ia boleh menyebabkan suhunya sama dengan suhu tubuh. Itu bahaya.
“Risikonya air mani atau sperma lelaki jadi kurang subur dan boleh menyebabkan kemandulan. Bukan itu sahaja, pemakaian seluar yang terlalu ketat boleh memberi tekanan pada saraf dan salur darah di zakar, yang boleh menyebabkan kerosakan jangka panjang,” katanya menerusi akaun TikTok.
Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain menekankan bahawa langkah pencegahan adalah pilihan terbaik sebelum timbul sebarang masalah kesihatan.
“Nasihat saya, apabila hendak tidur tu, jangan pakai seluar ketat. Pakai kain sarung lebih bagus.

“Kalau nak pakai seluar dalam ketat di siang hari, boleh saja kerana ia hanya sementara. Jangan pakai lama. Barulah ada pengudaraan, peluh pun jadi kering. Jadi boleh cegah daripada sebarang penyakit.
“Tapi sebalik-baik pakailah seluar longgar atau boxer. Boxer ini banyak kebaikannya. Antaranya adalah pengudaraan cukup dan testis tidak ditekan. Salur darah pun berjalan lancar.
“Apabila kita sering menjaga kesihatan alat sulit kita, insya-Allah dalaman pun sihat,” tambahnya lagi.




