Johari gesa beri pandangan RUU PSB pada Konvensyen Melayu Bandar bulan depan

Johari gesa beri pandangan RUU PSB pada Konvensyen Melayu Bandar bulan depan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mahu peserta Konvensyen Melayu Bandar yang akan berlangsung pada awal bulan depan untuk mengemukakan pandangan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Beliau yang mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU itu, berkata banyak persoalan diterima daripada orang ramai, termasuk keperluan bagi penggubalan akta baharu itu.

“Ramai juga mempertikaikan kepada saya, kenapa perlu adanya PSB kerana alasan, kita ada Akta Hak Milik Strata dan Akta Pengambilan Tanah.

“Mereka bertanya, jika ada kelemahan dalam kedua-dua akta ini, kenapa kita tidak pinda?” katanya.

Beliau berkata kepada Buletin TV3 ketika ditemui selepas mesyuarat induk Pasukan Khas itu di sini, hari ini.

Johari, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, turut berharap RUU PSB akan mengambil kira pandangan penduduk kerana majoriti kawasan perumahan yang terbabit dalam pembangunan semula didiami oleh komuniti berpendapatan rendah.

Konvensyen Melayu Bandar yang dijadualkan pada 3 Oktober ini dijangka dihadiri 1,000 peserta daripada persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.

Resolusi daripada konvensyen itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RUU PSB dibentangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 21 Ogos lalu

Pada 28 Ogos, RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua, namun kemudian ditangguhkan ke sidang seterusnya yang dijadualkan dari 6 Oktober hingga 4 Disember depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top