Semua restoran IKEA peroleh sijil halal JAKIM

Semua restoran IKEA peroleh sijil halal JAKIM

nurul_husna@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: IKEA Malaysia mengesahkan semua rangkaian restoran, kafe dan bistro IKEA di seluruh negara kini menerima pengiktirafan halal secara rasmi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pencapaian ini secara rasmi mengiktiraf amalan halal yang telah lama diangkat di IKEA Malaysia, serta mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap setiap hidangan yang disajikan.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, selama hampir tiga dekad, prinsip halal telah menjadi panduan IKEA dalam penyediaan makanan di Malaysia.

“Ia bermula dengan perolehan bahan-bahan yang diperakui halal, pematuhan piawaian penyediaan yang teliti, sehingga larangan tegas terhadap penggunaan bahan yang tidak dibenarkan.

” Pensijilan halal secara rasmi kini mengiktiraf serta memperkukuh amalan terbabit sambil mengekalkan piawaian tinggi IKEA terhadap kualiti dan keselamatan, sekali gus memberikan rakyat Malaysia lebih keyakinan serta ketenangan fikiran,” katanya pada majlis pengumuman pengiktirafan halal dari JAKIM, di sini, hari ini.

Menurutnya, menerusi kerjasama erat dengan JAKIM, pihaknya memastikan pematuhan sepenuhnya dalam aspek perolehan bahan, operasi dapur dan latihan kakitangan.

“Pengiktirafan ini turut memperkukuh janji IKEA Malaysia untuk mencipta kehidupan harian yang lebih baik, bukan sahaja melalui kelengkapan rumah, tetapi juga sajian yang mencerminkan nilai, cita rasa dan harapan masyarakat tempatan.

“Kami sentiasa meneroka cara untuk menjadikan pengalaman menikmati hidangan di IKEA lebih inklusif, mudah diakses dan berpatutan.

“Ini juga termasuk usaha memperkenalkan lebih pilihan yang lestari, mengurangkan pembaziran makanan, serta menyajikan hidangan yang bukan saja enak, tetapi juga lebih baik untuk manusia dan bumi ini,” katanya.

Malcolm berkata, pensijilan halal bukan hanya berkaitan makanan tetapi ia membabitkan semua elemen termasuk pengurusan premis selain proses latihan kepada kakitangan dalam memahami status halal.

“Saya sendiri terbabit secara menyeluruh agar dapat gambaran jelas mengenai proses pemeriksaan yang ketat serta menjalinkan kerjasama rapat dengan JAKIM.

“Semua pengalaman ini cukup penting untuk menjadi sebahagian dalam komuniti di Malaysia.

“Dalam masa sama, proses ini menjadi satu pembelajaran yang cukup penting termasuklah prospek IKEA bagi pasaran Asia yang memiliki potensi pasaran luas dalam penawaran produk halal.

“Dengan pengalaman ini, saya melihat IKEA Malaysia juga boleh menjadi rujukan untuk IKEA dan rakan niaga di peringkat global mengenai pasaran produk halal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top