Drama di 'Little Pakistan', sibuk buat 'live', pengsan, bergaduh

Drama di 'Little Pakistan', sibuk buat 'live', pengsan, bergaduh

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Padah ‘menyibuk’ di lokasi operasi, beberapa warga asing ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Warga asing terbabit pada mulanya tidak ditahan bagaimanapun dilihat cuba merakam dan ada yang membuat sesi ‘live’ di media sosial walaupun tidak membawa dokumen perjalanan yang sah pada diri mereka.

Seorang wanita warga asing yang ditahan pula berpura-pura pengsan bagi meraih simpati selepas ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) lewat malam semalam.

Wanita dianggarkan berusia 50-an itu bagaimana bernasib malang apabila helahnya itu bukanlah pertama kali disaksikan malah sudah sering digunakan PATI yang ditahan dalam operasi sebelum ini.

Ada juga yang menangis teresak-esak dan ada yang cuba bertikam lidah dengan pegawai operasi namun usaha mereka hanya sia-sia apabila kesemuanya diangkut ke dalam lori JIM Kuala Lumpur.

Itu antara ‘drama’ yang sempat disaksikan Harian Metro yang berada di lokasi operasi di ‘Little’ Pakistan di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, lewat malam semalam.

Sementara itu,Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, selain pekerja dan pengunjung PATI pihaknya turut mengesan aktiviti pengemis warga asing.

Katanya, pemeriksaan di sebuah premis dipercayai bilik warga asing berkenaan menemui sejumlah not satu ringgit dipercayai hasil dari kegiatan mengemis.

“Ada segelintir warga asing ini, kebanyakannya dari negara Asia Selatan, apabila ditahan mendakwa kononnya mereka pelancong di negara ini.

“Namun, helah itu terbongkar apabila pemeriksaan menemui banyak wang kertas RM1 yang mereka miliki, termasuk yang disimpan di beberapa bilik sewaan,” katanya pada sidang media, di sini, lewat malam semalam.

Terdahulu sepasukan pegawai dan anggota daripada KL Strike Force membabitkan JIM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengepung kawasan itu dalam satu operasi besar-besaran.

Wan Mohammed Saupee berkata, seramai 199 individu ditahan terdiri daripada 196 warga asing disyaki PATI dan tiga warga tempatan yang menggajikan mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top