am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Ketua sindiket dikenali sebagai ‘Datuk John’ berusia 28 tahun yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi disambung reman tiga hari.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid sehingga 1 Oktober bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak bersubsidi dengan niat melakukan kesalahan.
Sebelum ini, lelaki berkenaan direman empat hari untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, lapan individu termasuk dua anggota penguat kuasa ditahan dalam tiga operasi kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi dikenali sebagai ‘Datuk John’, Khamis lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, dilaporkan berkata, serbuan dilakukan di bandar Kota Bharu dan Pasir Puteh jam 7 malam dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
“Dalam serbuan itu, kita merampas minyak masak bersubsidi berjumlah 11,050 kilogram dianggarkan bernilai RM27,625 selain menahan lapan anggota sindiket.
“Kita berjaya menahan ketua sindiket dikenali sebagai ‘Datuk John’ berusia 28 tahun dan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM482,225 termasuk dua lori, sebuah pacuan empat roda dan sebuah Toyota Vellfire,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




