am@hmetro.com.my
Kuantan: Seorang surirumah berusia 51 tahun dari Bentong, dekat sini, kerugian RM223,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, terdahulu, wanita itu menerima panggilan daripada suspek yang menawarkan peluang pelaburan dengan menjanjikan kadar pulangan tinggi, 15 September lalu.
Katanya, tertarik dengan tawaran itu, mangsa memberikan maklumat peribadi sebelum diarah memuat turun aplikasi mudah alih melalui pautan yang dihantar suspek.
“Mangsa kemudiannya melakukan 12 transaksi kewangan ke tujuh akaun bank berjumlah keseluruhan RM223,000. Ia adalah wang simpanan peribadi dan peninggalan mendiang suami.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas dimaklumkan oleh pihak bank bahawa akaun penerima adalah akaun yang dikenal pasti terbabit dengan sindiket penipuan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada kenyataan, hari ini.
“Sebelum melakukan transaksi, lakukan semakan di https://semakmule.rmp.gov.my untuk mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




