Nora Ariffin sedia berdamai jika campur tangan pihak ketiga ditangani

Nora Ariffin sedia berdamai jika campur tangan pihak ketiga ditangani

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin tidak menafikan sekiranya ada penyelesaian tuntas untuk kemelut rumah tangganya, tidak mustahil untuk dia menarik balik kes itu.

Nora atau pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin, 52, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling berkata, namun, dia yakin dengan prosedur mahkamah dan mengikut saluran yang betul.

“Hakim ada menyebut bahawa jika semuanya sudah baik, dia meminta saya menarik balik permohonan perceraian.

“Namun, selepas perbincangan, secara jujur saya katakan, memang saya boleh menarik balik permohonan itu, tetapi masalahnya tidak akan selesai begitu sahaja.

“Campur tangan pihak ketiga tidak akan berhenti, kecuali ia ditangani secara tuntas.

“Saya percaya dan yakin pihak hakim serta mahkamah membuat keputusan yang terbaik. Maka, saya akan ikut prosedur yang ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, dia masih nekad untuk meneruskan dengan perceraian walaupun prosesnya agak perlahan dan memakan masa.

“Tadi pun saya nyatakan, saya boleh sahaja menarik balik, tetapi masih ada perkara asas yang perlu dijelaskan dan diselesaikan.

“Kalau semuanya sudah benar-benar tenang dan baik, sudah tentu saya akan menarik balik semua fail perceraian. Hakim juga menyarankan begitu.

“Kalau sudah berdamai, tarik sahaja balik. Namun bagi saya, jika punca utama masalah tidak diselesaikan, isu ini akan berulang lagi.

“Jadi, penyelesaian mesti dilakukan dengan cara yang betul dan menyeluruh, ibarat mencari ‘ubat sebenar’ kepada masalah ini,” katanya.

Sementara itu, anaknya, Muhammad Syakir Iman Johan yang mewakilinya dalam hakam keluarga berkata, gangguan daripada pihak ketiga memberi kesan buruk kepada ibunya.

“Secara peribadi, saya rasa isu sebenar antara ibu saya dan Ustaz Rushdi Ramli, jika hanya membabitkan mereka berdua, tidaklah besar.

“Nampak jelas Ustaz Rushdi menjaga hak ibu saya dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Namun, pihak ketiga ini kadang-kadang muncul, bukan setiap hari, tetapi apabila ‘serangan’ berlaku, kesannya sangat ketara.

“Sebab itu saya rasa, dengan adanya sesi tiga penjuru bersama hakam yang dilantik daripada panel mahkamah nanti, diharapkan mereka dapat bertindak lebih tegas dan membantu mencapai kesepakatan.

“Kalau boleh diselamatkan, Alhamdulillah. Tetapi kalau jodoh tidak berpanjangan, kami reda dan terima ketentuan itu,” katanya.

Mahkamah hari ini menetapkan tarikh 21 Oktober bagi pelantikan hakam islah daripada panel mahkamah, untuk kes perceraian pasangan Nora dan Rushdi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top