hafidzul@hmetro.com.my
Shah Alam: Kira-kira 120 ahli kariah Masjid Raja Tun Uda dan penduduk setempat ‘bergabung tenaga’ dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyatakan perang terhadap jenayah rasuah.
Menerusi program Komuniti Benci Rasuah di Masjid Seksyen 16 itu, komuniti setempat didedahkan dengan bahaya jenayah kolar putih.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, program itu bertujuan mengukuhkan peranan komuniti untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa selain menyebarkan mesej jijiknya perbuatan rasuah.
“SPRM tidak boleh bekerja sendirian, kami perlukan sokongan padu masyarakat untuk membentuk komuniti yang berintegriti dan benci rasuah.
“Sinergi antara SPRM dan institusi masjid seperti ini adalah platform terbaik untuk mendekati masyarakat secara terus,” katanya.
Program dengan kerjasama pengurusan Masjid Raja Tun Uda itu turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.
Selain ceramah, pameran khas SPRM turut dibuka bagi memberi maklumat mengenai fungsi suruhanjaya itu dan cara yang betul untuk menyalurkan maklumat jika mengesyaki berlakunya perbuatan rasuah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




