Memang Sabronzo, DJ Dash Berlin nak kahwin – Sufi Rashid

Memang Sabronzo, DJ Dash Berlin nak kahwin – Sufi Rashid

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penganjur konsert Dolla juga penyanyi Sufi Rashid, memaklumkan sudah mengetahui lebih awal mengenai hasrat anggota kumpulan terbabit, Sabronzo mahu berkahwin dengan Ryan Fieret.

Sufi atau Muhammad Sufi Rashid, 34, berkata, hubungan pasangan ini yang terjalin sejak 2023 bukan lagi satu rahsia buatnya.

“Memang saya tahu mereka nak kahwin. Bila label Sabronzo iaitu Universal Music beritahu mereka akan berkahwin, saya tumpang gembira untuk mereka.

“Eloklah berkahwin daripada couple lama-lama. Bagi saya okey kerana Ryan seorang lelaki yang baik, pendiam dan tak banyak bercakap. Hanya orang yang tahu saja tahu,” katanya ditemui selepas sidang media tergempar Hafiz Suip yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Sufi berkata, perkahwinan Sabronzo dan Ryan sudah dijangka akan menjadi topik hangat dalam kalangan peminat Dolla dan pengikut industri hiburan tanah air.

“Saya dah boleh agak peminat akan buat pelbagai spekulasi bila Sabronzo berkahwin, sedangkan Dolla pun ramai yang cakap macam-macam.

“Apa yang terbaik adalah terus mendoakannya. Macam mana industri muzik kita nak maju? Kesian dia sebelum ini kena tuduh bukan-bukan.

“Selepas dia muat naik gambar dah kahwin, apa jadi dengan netizen yang kata buruk dulu. Anda sudah buat fitnah yang besar dan patut minta maaf,” katanya.

Terdahulu Isnin lalu, Sabronzo mengesahkan dirinya sudah bergelar isteri kepada Ryan Fieret dan pernikahan pasangan itu dikatakan berlangsung secara sederhana di Bali, Indonesia.

Dalam perkembangan berkaitan, Sufi sebagai Pengarah Urusan SAH Entertainment Singapura, menganjurkan konsert Dolla – Good Girls Gone Bad pada 22 November 2025 di Capitol Theatre dan diikuti Malaysia di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 6 Disember ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top