Putrajaya: Webest Sdn Bhd melancarkan projek kediaman terbaharunya, Amai Residence di Shaftsbury, di sini dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) lebih RM300 juta.
Projek dua blok itu bukan sahaja memberi pilihan perumahan mampu milik di kawasan premium, malah selari dengan agenda kerajaan dalam memperkukuhkan pertumbuhan hartanah dan ekonomi di daerah ini.
Menurut Pengarah Webest, Calvin Chan, Amai Residence adalah bukti komitmen syarikat menyediakan kediaman berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan.
“Pembangunan ini akan merancakkan lagi sektor hartanah tempatan kerana ia bukan sahaja membuka peluang pemilikan rumah baharu, malah mampu merangsang ekonomi pembinaan.
“Amai Residence dijangka meningkatkan taraf hidup penduduk melalui penyediaan kemudahan gaya hidup moden dan persekitaran yang lebih kondusif untuk didiami,” katanya.
Tambah Calvin, projek ini juga diyakini menyumbang kepada peningkatan nilai hartanah di Putrajaya dan kawasan berhampiran, menjadikan ia satu pelaburan yang bernilai pada masa hadapan.
Dalam pada itu, pembangunan ini tidak hanya tertumpu kepada aspek perumahan semata-mata, sebaliknya turut memberi perhatian kepada kesinambungan dasar kerajaan dalam menggalakkan projek perumahan yang lebih mampan.
Mengenai Amai Residence, ia dibangunkan dengan pendekatan kediaman berkonsep premium tetapi masih mengekalkan tahap kemampuan yang berpatutan.
Ini memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana, termasuk mereka yang tidak layak membeli rumah mampu milik, untuk memiliki kediaman yang selesa di lokasi strategik.
Calvin turut optimis bahawa dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, Putrajaya akan terus berkembang sebagai sebuah bandar pintar dan bandar hijau di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd
