Seoul: Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan mesyuarat pertama kumpulan kerja dua hala di Washington pada Selasa untuk menangani isu visa yang dihadapi oleh pelabur Korea Selatan di AS, menurut Kementerian Luar Korea Selatan pada Rabu, lapor Xinhua.
Peserta yang hadir pada mesyuarat itu termasuk Jung Ki-hong, wakil Korea Selatan bagi perlindungan rakyat di luar negara dan hal ehwal konsular serta Kevin Kim, pegawai kanan Jabatan Negara AS untuk hal ehwal Asia Timur dan Pasifik.
Mesyuarat ini diadakan susulan penahanan dan pembebasan seramai 316 pekerja Korea Selatan semasa serbuan imigresen AS pada 4 September di tapak pembinaan kilang bateri kenderaan elektrik yang dikendalikan secara usaha sama antara Hyundai Motor Group dan LG Energy Solution.
Serbuan itu berlaku selepas persetujuan lisan Korea Selatan pada akhir Julai untuk melabur AS$350 bilion di AS sebagai pertukaran kepada pemotongan tarif AS ke atas barangan Korea Selatan.
Semasa mesyuarat itu, pihak AS bersetuju untuk menubuhkan kaunter khas di Kedutaan AS di Seoul, yang buat sementara waktu dinamakan Korean Investor Desk.
Pihak AS juga mengesahkan semula bahawa syarikat Korea Selatan boleh menggunakan visa pelawat perniagaan jangka pendek bagi aktiviti berkaitan proses pelaburan mereka di AS, seperti pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan peralatan yang dibeli dari luar negara, dan bahawa ahli perniagaan dalam program pengecualian visa boleh melakukan aktiviti yang sama seperti pemegang visa pelawat perniagaan.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mewujudkan saluran komunikasi bersama antara misi diplomatik Korea Selatan di AS, Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS serta Kastam dan Perlindungan Sempadan AS.
© New Straits Times Press (M) Bhd
