Barcelona: Pengurus Paris St Germain, Luis Enrique memuji ketabahan dan semangat juang pasukannya selepas bangkit menewaskan Barcelona 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Juara bertahan itu bangkit selepas ketinggalan awal dan berdepan pelbagai kecederaan untuk meraih kemenangan penting di Stadium Olimpik Montjuic, sekali gus kemenangan ketiga berturut-turut mereka di ibu kota Catalonia.
“Ia satu perlawanan yang cemerlang,” kata Luis Enrique kepada penyiar Sepanyol, Movistar Plus. “Apabila anda lihat dua pasukan bermain secara bersih, cuba saling menyakiti dengan bermain bola sepak, ia satu perlawanan sangat lengkap.”
PSG bangkit selepas Barcelona membuka jaringan awal menerusi Ferran Torres dengan pemain muda berusia 19 tahun, Senny Mayulu menyamakan kedudukan pada minit ke-38 hasil satu rembatan selepas larian hebat dari kiri oleh Nuno Mendes, sebelum pemain gantian Goncalo Ramos menjaringkan gol kemenangan menerusi serangan balas di penghujung perlawanan.
“Mereka (Barcelona) lebih baik sehingga mereka menjaringkan gol, tetapi kami bangkit semula. Nuno melakukan satu aksi luar biasa. Saya rasa kami lebih baik dalam separuh masa kedua,” tambah Luis Enrique.
PSG melakukannya walaupun tanpa beberapa pemain utama termasuk kapten Marquinhos, Ousmane Dembele, Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia. Situasi itu memaksa mereka bergantung kepada bakat muda seperti Mayulu untuk mengisi kekosongan.
“Mayulu memiliki banyak kekuatan, dia menawarkan banyak perkara,” kata Luis Enrique. “Dia mempunyai banyak kualiti dan boleh bermain di dalam dan di luar. Saya sangat bertuah memilikinya.”
Pengurus dari Sepanyol itu meluahkan rasa bangga terhadap keupayaan pasukannya menyesuaikan diri dan menyerlah walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam persekitaran yang mencabar.
“Kami bermain dengan baik,” katanya. “Ia sukar pada permulaan. Mereka (Barcelona) mempunyai ramai pemain berkualiti. 20 minit pertama sangat mencabar dan kami membuat kesilapan. Dalam separuh masa kedua, kami lebih baik dan kami layak menang.
“Saya gembira kerana masalah tidak menjadi halangan. Ini kemenangan yang penting. Bermain menentang Barca sentiasa sukar. Keputusan ini penting untuk keyakinan kami.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




