am@hmetro.com.my
Temerloh: Lelaki warga emas pengsan ketika berada di atas pokok kelapa setinggi kira-kira 9.1 meter di Taman Jaya 2, Jalan Temerloh, Maran di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.52 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an dilaporkan terkandas di atas pokok selepas tidak sedarkan diri sebelum orang awam menghubungi talian kecemasan.
Difahamkan, mangsa sebelum itu cuba menguji alat ciptaannya sendiri yang digunakan bagi memanjat pokok kelapa.
Dia bagaimanapun tiba-tiba pengsan akibat keletihan ketika berada di atas pokok.
Ketua Zon 2 JBPM Pahang, Mohd Sobree Mohamed Salleh berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin dengan kekuatan sembilan anggota digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang lelaki tidak sedarkan diri berada di atas pokok kelapa setinggi kira-kira 9.1 meter.
“Anggota memulakan operasi menyelamat menggunakan tangga jentera serta sistem takal bagi menurunkan mangsa dengan selamat,” katanya.
Katanya, mangsa berjaya dibawa turun dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi tamat sepenuhnya selepas mangsa disahkan berada dalam keadaan stabil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




