am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tanya ada limau purut atau tidak sebelum rumah dipecah masuk individu tidak dikenali.
Itu nasib dialami seorang wanita warga emas apabila menjadi mangsa penjenayah di kediamannya di Batu 5, Sungai Tunggul Baru, Tanjong Karang.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 81 tahun pada jam 7.33 malam Khamis lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 10.30 pagi hari sama semasa pengadu berada di halaman rumahnya.
“Mangsa didatangi seorang wanita tidak dikenali yang berniqab bertanya sama ada mempunyai daun limau purut atau tidak sebelum menjawab tiada.
“Kemudian mangsa terdengar bunyi seperti orang menggeledah di dalam rumah lalu masuk ke dalam dan mendapati keadaan biliknya berselerak,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Azaharudin berkata, pengadu yang melakukan pemeriksaan mendapati beg tangan yang mengandungi wang tunai RM 8,634 serta beberapa dokumen seperti kad pengenalan dan kad rawatan hospital tiada.
Pada masa sama katanya, gelang emas yang disimpan di dalam beg kecil disangkut di tiang katil juga tiada.
“Polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika didatangi individu tidak dikenali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




