“Ardell Ditarik Rambut, Ditumbuk Dimuka, PU Rahmat Diarah Buka Pakaian”  

“Ardell Ditarik Rambut, Ditumbuk Dimuka, PU Rahmat Diarah Buka Pakaian”  

Aktivis Ardell Aryana dilapor ditarik rambut serta ditumbuk di bahagian muka oleh tentera Israel ketika rejim terbabit memintas kapal dinaikinya.

Memetik BH Online, perkara itu dimaklumkan oleh peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin yang mendapat maklumat itu selepas berbual dengan Ardell di Turkiye hari ini.

BACA: “Macam Mana Saya Hantar Ardell Pergi, Macam Itulah Harapnya Dia Pulang”

Selain Ardell, pendakwah PU Rahmat turut dipaksa membuka pakaian oleh rejim Z dengan tujuan untuk memalukan mereka.

“Apa yang baharu saya dapat sedikit sebanyak maklumat sukarelawan GSF sebentar tadi antara perkara yang tidak berperikemanusiaan lain termasuk ada dua, tiga sukarelawan lelaki seperti PU Rahmat diarahkan membuka pakaian.

“Heliza dan Hazwani pula diberikan minuman air paip dari tandas. Dalam penjara, airnya tidak bersih,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata pihak peguam juga bercadang untuk memfailkan hasil siasatan terhadap rejim Israel melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Kemudian kita bercadang untuk memfailkan satu laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

“Dengan adanya bukti ini kita boleh beri tekanan politik dan desak siasatan terperinci dibuat terhadap rejim Zionis dan failkan siasatan melalui ICC,” katanya.

Dalam pada itu, memetik Harian Metro, Ardell dan seorang lagi sukarelawan, Haikal Abdullah dihantar ke sebuah hospital di Istanbul untuk menerima rawatan lanjut, hari ini.

“Ardell memaklumkan beliau mengalami tekanan darah rendah selepas insiden pemintasan. Ketika ditahan, rambutnya ditarik dan beliau turut ditumbuk di bahagian muka. Mungkin disebabkan itu keadaannya agak lemah dengan tekanan darah rendah.

“Haikal pula mendakwa beliau dipijak oleh tentera rejim Zionis di bahagian tangan sehingga menjejaskan beberapa jarinya dan memerlukan rawatan lanjut,” katanya.

Sumber: BH Online


Scroll to Top