SC sasar AUM SFO RM2 bilion menjelang akhir 2026

SC sasar AUM SFO RM2 bilion menjelang akhir 2026

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Skim Pejabat Keluarga Tunggal (SFO), kini beroperasi sepenuhnya selepas Peraturan Cukai Pendapatan (Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal) (Pulau 1 Zon Kewangan Khas Forest City) 2025 diwartakan pada 3 Oktober lalu, menandakan komitmen kerajaan membangunkan ekosistem pengurusan kekayaan keluarga di Malaysia.

Susulan itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyasarkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah RM2 bilion menjelang akhir tahun depan, hasil sambutan menggalakkan terhadap skim berkenaan.

Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pewartaan berkenaan turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pangkalan kukuh dan dipercayai untuk pengurusan kekayaan keluarga di rantau ini.

Katanya, setakat ini, SC sudah menerima lebih 30 penyataan minat (EoI) daripada keluarga berpendapatan tinggi dalam dan luar negara, dengan enam keluarga diberikan kelulusan bersyarat bernilai indikatif hampir RM400 juta.

“Angka itu jauh melepasi jangkaan awal sejak skim dilancarkan pada September tahun lalu.

“Kerajaan dengan sokongan SC sudah mewujudkan skim insentif komprehensif yang memberi kepastian dasar dan menarik keluarga berpendapatan tinggi untuk menstruktur serta mengurus kekayaan mereka dari Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan SC, Datin Azlina Adham dan Ketua Pegawai Kewangan Country Garden Forest City, Kevin Li Geng.

Insentif yang diperkenalkan melalui SFO itu menawarkan pengecualian pendapatan, keuntungan modal, duti setem serta pendapatan sumber asing dengan tempoh 20 tahun (10+10 tahun) yang pertama di Malaysia.

Mohammad Faiz berkata, pendekatan dua langkah dilaksanakan iaitu kelulusan bersyarat awal melalui perundingan wajib dengan SC dan pensijilan cukai tahunan untuk memastikan pematuhan berterusan.

Selain itu, model pusat sehenti diwujudkan bagi memperkemas perkhidmatan serta meningkatkan kejelasan kepada pelabur antarabangsa.

SC juga akan memperluas Sidang Kemuncak Pejabat Keluarga tahunan, menerbitkan panduan pengoperasian menyeluruh dan terus melaksanakan promosi bagi menarik lebih banyak minat domestik serta antarabangsa.

Menariknya, rangka kerja ini turut menyediakan trek visa khas untuk keluarga serta profesional pelaburan, kewajipan menubuhkan pejabat di Forest City, menggaji tenaga kerja tempatan dan melabur dalam pasaran modal Malaysia.

Pelaburan dalam sektor strategik termasuk NIMP 2030, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), pembiayaan ekuiti ramai, inisiatif kemampanan dan wakaf juga diberi pengganda 1.5 kali dalam pengiraan AUM.

Dengan pewartaan rasmi itu, Malaysia kini memasuki fasa baharu sebagai destinasi utama pengurusan kekayaan keluarga, sekali gus memperkukuh kedudukan negara di pentas global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top