saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar berpeluang mengadakan kunjungan hormat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Perkembangan itu dikongsikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, yang mengiringi Johan atau lebih mesra disapa Jojo untuk bertemu Perdana Menteri.
“Kunjungan ini bukan sekadar pertemuan, tetapi ruang untuk mengangkat kisah perjuangan seorang anak muda yang berjiwa besar Jojo Ghazali, ikon belia yang mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
“Di sebalik jabat tangan dan senyuman, tersirat tekad untuk memperkukuh pembangunan sukan Muay Thai negara, membuka jalan buat lebih ramai bakat muda melangkah ke gelanggang dunia.
“KBS akan terus komited memperkasa sukan Muay Thai di peringkat tempatan dan antarabangsa, melalui pembangunan bakat muda dan penyediaan ekosistem latihan yang lebih tersusun untuk memperkukuh ekosistem sukan tempur ini secara menyeluruh,” kata Adam menerusi status di akaun Facebook miliknya.
Sementara itu, Johan turut memuat naik beberapa keping gambar bersama Perdana Menteri dengan diiringi kedua ibu bapanya, Senior Asisten Komisioner Zulfikar Ghazali dan Jennana Johnson.
“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri @anwaribrahim_my atas jemputan ini. Satu penghormatan yang amat besar. Dua dunia berbeza, satu visi untuk Malaysia.
“Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Alhamdulillah,” katanya di akaun media sosial miliknya.
Pada bulan lalu, Johan mencatat kemenangan Technical Knockout (KO) bergaya ke atas lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari, dalam masa hanya dua minit 10 saat dalam kategori flyweight pada kejohanan ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Thailand.
Kemenangan sulung Johan tahun ini menutup episod dua kekalahan berturut-turut yang dialaminya sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




