razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Belanjawan 2026 menjadi suntikan positif kepada Wisma Putra untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya dengan lebih efektif dalam mempertahankan dasar luar dan kepentingan negara.
Selain itu ia juga mampu meningkatkan pembabitan Malaysia dalam pelbagai proses dan inisiatif yang diketengahkan oleh organisasi dan pertubuhan antarabangsa dan serantau.
Ia termasuklah di peringkat ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Kumpulan D-8 dan BRICS.
Wisma Putra dalam kenyataannya menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 Kerajaan MADANI bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat pada hari ini.
Katanya, secara keseluruhan, Wisma Putra telah diperuntukkan sebanyak RM1,200,844,100 di mana RM982,698,600 adalah bagi Belanja Mengurus dan RM218,145,500 bagi Belanja Pembangunan yang dilihat selaras dengan aspirasi MADANI dan dasar serta komitmen Malaysia terhadap diplomasi yang proaktif, inklusif dan berprinsip.
“Tahun 2026 menandakan peralihan sebahagian fokus Wisma Putra selepas selesai pelaksanaan tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
“Dengan berakhirnya tempoh kepengerusian ini, Kementerian kini menumpukan kepada pengukuhan peranan diplomasi Malaysia di peringkat serantau dan global, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menitikberatkan keseimbangan antara kemakmuran, kemampanan dan kesejahteraan global,” katanya.
Wisma Putra turut menghargai dana khusus sebanyak RM31.5 juta bagi peruntukan penyelenggaraan serta penggantian aset-aset di Kedutaan Malaysia di luar negara yang dapat mengoptimumkan kapasiti operasi perwakilan Malaysia.
“Selain itu, peningkatan peruntukan bagi belanja pembangunan akan menyumbang ke arah kerja-kerja memulihara dan menaiktaraf bangunan-bangunan milik Kerajaan di luar negara.
“Ini akan dapat mempertingkatkan keupayaan Wisma Putra dalam menyampaikan perkhidmatan konsular dan diplomatik yang lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Katanya, Wisma Putra kekal komited dalam menyampaikan perkhidmatan luar negeri yang unggul, responsif dan berintegriti, serta menyumbang secara bermakna ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




