Buat 2 Sesi Pagi & Petang… Lebih 2,000 Tetamu Meriahkan Resepsi Fattah Amin & Amira Othman Di Johor

Buat 2 Sesi Pagi & Petang… Lebih 2,000 Tetamu Meriahkan Resepsi Fattah Amin & Amira Othman Di Johor

Majlis resepsi perkahwinan pasangan popular Fattah Amin dan Amira Othman berlangsung penuh meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor, semalam dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu yang diraikan dalam dua sesi pagi dan petang.

Menurut adik Amira yang juga penyanyi, Irfan Haris, pembahagian kepada dua sesi dibuat bagi memastikan keselesaan semua tetamu yang hadir, lapor BH Online.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Jumlah jemputan melebihi 2,000 orang. Kami buat dua sesi supaya semua tetamu termasuk keluarga, saudara-mara, rakan dan guru sekolah boleh menikmati majlis dengan selesa sambil melihat pengantin,” katanya.

Majlis resepsi itu diraikan kira-kira sebulan selepas pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 14 September lalu dalam majlis tertutup di sebuah resort di Sepang.

Berlatarkan tema tradisional Melayu, Fattah dan Amira tampil anggun bersanding di atas pelamin indah yang dihiasi ribuan kuntum bunga merah, menyerlahkan keanggunan suasana seolah-olah istana Melayu klasik.

Fattah segak mengenakan baju Melayu teluk belanga Johor berona putih gading, manakala Amira tampil memukau dengan busana rona senada yang menyerlahkan seri pengantin baru.

Majlis turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada rakan selebriti seperti Indah Ruhaila, selain persembahan piano daripada bapa Amira, Othman Abd Kadir, yang mengalunkan lagu sebelum sesi bersanding bermula sekitar jam 3 petang.

Lebih istimewa, pasangan pengantin turut membuat persembahan duet lagu Rindu Bayangan bersama adik-beradik Amira, diiringi petikan piano oleh ayah mereka — mencipta momen yang penuh emosi dan meninggalkan kenangan manis buat semua tetamu.

Terdahulu, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, menamatkan zaman dudanya dengan Amira, 32, dalam majlis pernikahan yang berlangsung dengan penuh adat. Pasangan ini dinikahkan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang mewakili bapa pengantin perempuan.

Dalam majlis tersebut, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran, manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang, melambangkan kesepakatan dua keluarga yang kini bersatu.

Sumber, Kredit Foto: BH Online

Scroll to Top