Kekal Bergaya! 20 Tahun Dalam Dunia Fesyen, Rizman Ruzaini ‘Takluk’ KLCC

Kekal Bergaya! 20 Tahun Dalam Dunia Fesyen, Rizman Ruzaini ‘Takluk’ KLCC

Duo pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil meraikan dua dekad perjalanan mereka dalam industri fesyen melalui pembukaan butik flagship RR by Rizman Ruzaini di Suria KLCC, pusat beli-belah mewah yang menjadi tumpuan utama di ibu negara.

Pembukaan butik ini bukan sekadar langkah baharu dalam perniagaan, tetapi simbol kejayaan dan ketekunan dua figura yang sudah 20 tahun mengangkat nama fesyen tempatan ke tahap antarabangsa.

Rizman berkata butik di KLCC itu mencerminkan sepenuhnya identiti RR yang segar, moden dan eksklusif tetapi masih mampu milik.

“Sebelum ini kami pernah buka pop-up store di Pavilion, tetapi kali ini kami mahu tampil dengan butik yang benar-benar menggambarkan jenama RR by Rizman Ruzaini. Ia ruang yang moden, elegan dan dekat dengan cita rasa wanita masa kini,” katanya.

Rizman mengakui pelancaran butik di KLCC adalah impian yang direalisasikan selepas bertahun-tahun kerja keras dan cabaran dalam industri fesyen.

“Selepas dua dekad, akhirnya kami berjaya menjejakkan jenama kami di KLCC. Ia perjalanan panjang yang penuh suka duka, tetapi semuanya berbaloi dengan sokongan pelanggan dan pasukan kami,” katanya.

Berbeza dengan butik mereka di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur yang menempatkan segmen Couture, Bridal dan Ready-to-Wear, butik baharu di KLCC ini memberi fokus kepada jenama RR by Rizman Ruzaini yang mengetengahkan konsep “affordable luxury”.

“Matlamat kami mudah, kami mahu setiap pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah yang eksklusif tanpa perlu berbelanja besar. Fesyen sepatutnya buat wanita rasa yakin dan berharga,” katanya lagi.

Bagi memperkukuh kedudukan di rantau Asia, RR by Rizman Ruzaini turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Modernity Group dari Indonesia.

“Kerjasama ini memberi peluang kepada kami untuk mengembangkan pasaran dan membina sistem operasi yang lebih tersusun serta seiring dengan piawaian global,” jelasnya.

Rizman turut memaklumkan bahawa setiap koleksi RR kini melalui proses pembaharuan bagi memastikan kualiti yang lebih tinggi dan rekaan yang memenuhi cita rasa antarabangsa.

“Harga mungkin sedikit meningkat berbanding sebelum ini, tetapi kualitinya juga lebih baik. Pelanggan kami tahu nilai yang mereka dapat,” katanya.

Dengan gaya yang feminin, moden dan sofistikated, RR by Rizman Ruzaini disasarkan untuk wanita berkerjaya yang menjadikan fesyen sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka.

Pelancaran butik ini menandakan satu lagi pencapaian besar buat jenama Rizman Ruzaini, simbol kejayaan anak tempatan yang kini berdiri gah di pentas fesyen dunia.

Scroll to Top