Meta perkenal ciri baharu di WhatsApp Business Platforms

Meta perkenal ciri baharu di WhatsApp Business Platforms

aimiepardas@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Meta memperkenalkan beberapa cara baharu dalam WhatsApp Business Platform bagi membantu perniagaan menambah baik perhubungan dengan pelanggan selain meningkatkan jualan.

Ketua Industri Meta Malaysia, Justin Murugaya berkata, 78 peratus daripada warga Malaysia menghantar mesej WhatsApp kepada perniagaan setiap minggu di mana Malaysia menjadi peneraju global dalam pemesejan perniagaan.

“WhatsApp sedang membangunkan ciri-ciri baharu bagi mambantu perniagaan pelbagai saiz meraih pencapaian lebih tinggi, sambil menawarkan pengalaman yang peribadi dan tepat pada waktunya,” katanya pada Sesi Bisnes WhatsApp di sini, hari ini.

Pengurus Penyelesaian Pelanggan Meta Malaysia, Jason Yim, menjelaskan Cloud API dikemaskini menjadi Marketing Message Lite (MM Lite) API yang membolehkan kadar penghantaran lebih tinggi dengan mesej yang relevan.

“Ia sangat mudah untuk beralih daripada Cloud API dan tiada penyepaduan teknikal diperlukan. Jika anda sudah menggunakan Cloud API, ia sangat lancar untuk bermula,” katanya

Menerusi ciri Time-To-Live (TTL) pula, perniagaan boleh menetapkan tempoh sah mesej WhatsApp dan tidak akan dihantar jika pengguna membuka aplikasi WhatsApp di luar tempoh itu.

MM Lite juga akan menyokong ciri ‘deep link’ di mana pengguna dapat pergi ke halaman tertentu dalam aplikasi perniagaan dan bukan saja terus ke laman web, katanya.

WhatsApp juga akan memperkenalkan metriks baharu yang boleh dibandingkan dengan perniagaan lain dalam industri sama, katanya.

Ciri-ciri baharu itu akan diperkenalkan menerusi tab Updates termasuk melalui iklan di Status, promosi Saluran, dan langganan Saluran.

WhatsApp juga akan membolehkan pelanggan menghantar dan menerima pesanan suara atau membuat panggilan video dengan perniagaan menerusi WhatsApp Business Platform.

Perniagaan kini boleh menggunakan platform itu untuk menerima panggilan daripada pelanggan atau membuat panggilan kepada pelanggan dengan izin mereka saja.

Meta juga sedang menguji penggunaan kecerdasan buatan (AI) di WhatsApp di beberapa negara.

Business AI di WhatsApp akan membantu perniagaan mengurus lebih banyak perbualan, membuat cadangan produk, memudahkan jualan di laman web mereka, serta menyusuli dan menjawab pertanyaan pelanggan apabila dilancarkan nanti.

Ciri-ciri ini akan dilancarkan secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang dan berasingan daripada perbualan peribadi di WhatsApp.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top