KUALA LANGAT: Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi lebih 4,000 pelajar di empat buat sekolah yang ditutup akibat ribut, dimulakan sejak semalam.
Kaedah pembelajaran sedemikian dilakukan serta merta berikutan bencana yang melanda di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaa (SMK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung itu masih dalam tempoh bersekolah.
Seorang ibu, Yana Ali, 40, berkata ibu bapa yang menghantar anak mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi di SK Sijangkang Jaya diarahkan guru untuk mengambil buku bagi meneruskan pembelajaran PDPR.
“Bagi ibu bapa murid PPKI sudah pun diarahkan mengambil buku bagi pembelajaran PDPR. Malah, PDPR sudah pun bermula semalam secara dalam talian apabila guru berkongsi capaian video, YouTube dan kuiz untuk anak.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada makluman daripada guru atau pihak sekolah sampai bila PDPR akan dijalankan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, sekurang-kurangnya 4,000 pelajar di lima buah sekolah termasuk Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan tidak dapat meneruskan persekolahan seperti biasa susulan kejadian ribut dan puting beliung pada Rabu lalu.
Bencana tersebut menyebabkan kerosakan serius pada bumbung sekolah serta pelbagai kemudahan lain sehingga menyebabkan keadaan di sana tidak selamat untuk operasi persekolahan seperti biasa.
Sementara itu, tinjauan pemberita di kawasan tersebut juga mendapati kerja-kerja pembersihan dan baik pulih sudah pun bermula apabila kelihatan jentera-jentera milik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) mula memasuki kawasan persekolahan.
Seorang petugas keselamatan di salah sebuah sekolah, Hafiz, 50, memberitahu guru-guru, ibu bapa dan murid boleh datang ke sekolah untuk mengambil barang keperluan pembelajaran sehingga tengah hari sebelum JKR memulakan kerja-kerja pembaikan sepenuhnya.
Bagi ibu bapa yang hendak mengambil buku (murid PPKI) datang ke pondok berdekatan pintu masuk sekolah. Mereka tak dibenarkan masuk ke dalam sekolah kerana keadaan tidak selamat.
Kemudian, meja dan buku akan diletakkan di luar pagar oleh guru bertugas kerana JKR mengarahkan kawasan sekolah ditutup bermula petang ini. Sesiapa pun tak dibenarkan masuk termasuk guru,” jelasnya.
Seorang lagi ibu, Azah Bakri, 36, yang anaknya turut bersekolah di sekolah sama mendakwa ibu bapa dan guru menjangkakan penutupan sekolah mungkin lebih daripada seminggu.
“Kerosakan yang dialami terutama di sekolah yang paling teruk terjejas di SK dan SMK Kampung Medan tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa terdekat kerana banyak bumbung runtuh, infrastruktur rosak dan sebagainya.
“Selain itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah pun mula menggerakkan tabung sumbangan bagi membantu pemulihan dan pembaikan kerosakan sekolah, ada juga yang mencadangkan supaya gotong royong diadakan nanti,” ujarnya. – UTUSAN




