Selangor peruntuk RM1,000 kepada setiap keluarga terjejas ribut Sijangkang

Selangor peruntuk RM1,000 kepada setiap keluarga terjejas ribut Sijangkang

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM64,000 sebagai bantuan bencana susulan kejadian ribut yang merosakkan harta benda penduduk terutamanya di kawasan Sijangkang, Kuala Langat, kelmarin.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada 64 ketua keluarga yang mengalami kerosakan rumah akibat kejadian berkenaan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut mengesan seramai 14 penduduk termasuk seorang pegawai pusat khidmat yang mengalami kecederaan akibat insiden berkenaan dan kesemua mangsa kini dirawat di hospital kerajaan.

“Mereka ini juga akan diberikan bantuan sebanyak RM1,000 seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi membaiki kerosakan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan, kerajaan negeri sudah mengenal pasti bahawa kerja-kerja baik pulih akan menelan kos sebanyak RM320,000.

Menurutnya, peruntukan itu akan disalurkan sepenuhnya di bawah Tabung Bencana Negeri bagi memastikan pelajar dapat kembali ke sekolah dengan selamat.

“Komitmen ini adalah tambahan kepada bantuan awal yang disalurkan oleh agensi negeri seperti Yayasan MBI dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang sebelum ini menyalurkan RM564,000 kepada enam buah sekolah, pusat khidmat serta keluarga mangsa ribut,” katanya.

Dalam kejadian ribut dan puting beliung pada petang Rabu itu, lebih 40 rumah, lima sekolah terjejas teruk, manakala 11 murid sekolah cedera.

Antara premis terjejas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kg Medan, Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung.

Selain itu, Dewan Wawasan Batu 9 Kampung Medan, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9 Kampung Medan serta kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.

Amirudin turut menyifatkan kejadian ribut berkenaan adalah yang terburuk sejak beberapa tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta dalam penyediaan vaksin Influenza A yang akan diberikan secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah, iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang, dan Petaling.

Ini akan bermula seawal minggu hadapan dan pelaksanaannya akan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top