redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Program ekspedisi jalan darat dinamakan ‘Tualang Borneo 2025’ bakal membuka tirai pada awal November depan dengan membawa semangat pengembaraan dan keindahan bumi Borneo merentasi Sabah dan Sarawak.
Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kembara Warisan Dunia, Zaki Alias selaku penganjur berkata, program itu inisiatif julung kali pihaknya dengan objektif utama adalah mempromosikan produk pelancongan tempatan Borneo dan memperkukuh sektor eko-pelancongan juga ekonomi komuniti setempat.
Menurutnya, ekspedisi itu akan mengambil selama 20 hari ini akan bermula dari Kuching, Sarawak.
“Semua yang terbabit dalam program itu akan menyusuri pelbagai destinasi menarik seperti Miri di Sarawak, Sandakan, Lahad Datu, Tawau di Sabah serta beberapa lokasi lain di sepanjang laluan yang kaya dengan keunikan budaya, warisan dan alam semula jadi.
“Ia bukan hanya bertujuan mengetengahkan keindahan pelbagai destinasi menarik dalam Borneo kepada umum namun berperanan sebagai satu bentuk sokongan terhadap inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Tualang Borneo 2025 juga platform untuk mengetengahkan keistimewaan Borneo sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini jadi ia sekadar ekspedisi tetapi usaha berterusan untuk mempromosikan eko-pelancongan, produk tempatan dan mengangkat peranan komuniti dalam menjayakan sektor pelancongan negara,” katanya.
Zaki berkata, program berkenaan turut mendapat sokongan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot yang menyatakan komitmen pihaknya untuk terus menyokong inisiatif mampu merancakkan sektor pelancongan domestik.
Katanya, perbincangan awal mengenai pelaksanaan program itu juga membabitkan Shaharuddin bersama komuniti Kembara Warisan Dunia iaitu penasihatnya, Muhammad Haikal Fahmi Tan Sri Elyas Omar, setiausaha, Nurul Aini Osman juga Obaid Shangloo yang memainkan peranan penting dalam perancangan dan penyelarasan program.
“Tualang Borneo 2025 diharap menjadi wadah yang memperkukuh hubungan antara komuniti berbekalkan semangat ‘Menjelajah, Mengenal, dan Mengangkat Warisan Borneo’, .
“Penganjurannya juga diharap dapat mempromosikan kelestarian alam sekitar selain memperkenalkan keunikan budaya dan produk tempatan kepada pelancong dalam dan luar negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




